Ads Top

Suami Izinkan Amyra Rosli Lakukan Adegan Bersentuhan Dengan Pelakon Lelaki Asalkan Berlapik

Pelakon popular, Amyra Rosli menyatakan bahawa suaminya, Amar Baharin memberikan keizinan kepada dirinya untuk melakukan adegan bersentuhan dengan pelakon lelaki.

Amyra berkata, suaminya itu bagaimanapun meletakkan syarat agar adegan berkenaan perlulah berlapik.

“Saya pernah bertanya kepadanya mengenai perkara berkenaan dan dia izinkan, namun meletakkan syarat haruslah berlapik.

“Kalau diikutkan adegan bersentuhan ni bukanlah dengan hero sahaja, tetapi membabitkan adegan seperti bersalaman dengan watak bapa atau ahli keluarga lelaki dalam sesebuah karya itu,” jelasnya.

Amyra berkata demikian semasa sesi sidang media secara virtual drama bersiri Sabarlah Duhai Hati semalam.

Ujar Amyra, dia juga memang tidak keberatan untuk melakukan adegan bersentuhan bagi memenuhi tuntutan watak, asalkan mengikut syarat yang ditetapkan suaminya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai drama berkenaan, Amyra memberitahu tiada adegan bersentuhan antara dua orang pelakon lelaki utama iaitu Saharul Ridzwan dan Izzue Islam.

Jelasnya, kedua-dua pelakon berkenaan sangat menjaga batas dan mengajar teknik tertentu terutamanya apabila membabitkan babak romantik.

“Saya menghormati kedua-duanya kerana mereka sangat menjaga batas, meskipun ada membabitkan babak romantik bersama saya.

“Lagipun mereka juga mengajar saya teknik tertentu bagi menjayakan babak sedemikian tanpa membabitkan adegan bersentuhan,” jelasnya.

Drama berkenaan mengisahkan tentang hidup Fira berubah sejak kelahiran adik bongsunya, Danish ketika usianya 20 tahun. Selepas empat tahun, Fira terpaksa menjaga Danish apabila ibu bapa mereka meninggal dunia.

Tiada sesiapa lagi untuk bergantung, Fira perlu menjaga Danish yang masih kecil. Ketika sedang terkapai-kapai dengan fasa baharu dalam hidupnya, Fira terkejut dilamar oleh lelaki yang tidak dikenalinya, Affan.

Sabarlah Duhai Hati akan mulai bersiaran pada 28 April ini pada setiap hari Isnin hingga Ahad pada jam 7.00 malam di TV3. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Amyra Rosli & TV3

The post Suami Izinkan Amyra Rosli Lakukan Adegan Bersentuhan Dengan Pelakon Lelaki Asalkan Berlapik appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.