Ads Top

Benarkah Kisah Abu Ubaidah Yang Membunuh Bapanya Dalam Perang Badar

Siapa tidak kenal dengan nama hebat Abu Ubaidah Al-Jarrah, iaitu salah seorang sahabat nabi yang telah dijamin syurga buatnya.

Nama sebenar beliau adalah ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Jarrah al-Fihri al-Quraisyh al-Makki dan merupakan salah seorang daripada keturunan suku Quraisy yang dihormati oleh masyarakat Arab.

Bagaimanapun, Abu Ubaidah telah menjadi antara manusia terawal yang memeluk Islam kerana dakwah Islam telah sampai kepadanya melalui Abu Bakar As-Siddiq.

Hebatnya beliau dalam Islam sehingga beliau sanggup mengikut Rasulullah SAW dalam beberapa perang yang terjadi.

Dalam Perang Badar, diriwayatkan bahawa beliau telah menentang kaum kabilahnya sendiri yang juga melibatkan bapanya. Juga, dalam beberapa perbahasan ulama menyebut bahawa beliau telah membunuh bapanya di dalam perang tersebut.

Mereka berhujah melalui surah Al-Mujadalah yang telah diturunkan, iaitu;

Mafhum: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka.” (Surah Al-Mujadalah, 58:22)

Dan Imam Ibnu Kathir juga telah menafsirkan ayat ini berdasarkan kepada pandangan daripada Said bin Abd Al-Aziz – “Telah berkata Said bin Abd Aziz dan selain daripadanya bahawa ayat ini diturunkan kepada Abu Ubaidah ‘Amir bin Abd Allah bin Al-Jarrah ketika beliau telah membunuh ayahnya di dalam perang Badar.” (Tafsir Ibn Kathir, 8/54)

Bagaimanapun, ulama berbeza pendapat dan mengatakan bahawa kisah tersebut adalah daif (lemah), iaitu Abu Ubaidah tidak membunuh ayahnya di dalam perang Badar.

Ayat yang diturunkan di atas adalah mengisahkan mengenai sejarah yang berlaku ketika peperangan, namun perihal Abu Ubaidah yang membunuh ayahya adalah lemah.

Hal ini kerana, sanad pada periwayatan ini adalah lemah dan terputus. Imam Al-Baihaqi dan juga Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut bahawa sanadnya terputus.

Maksud: “Dibunuh ayahnya (ayah kepada Abu Ubaidah) yang kafir pada peperangan Badar dan dikatakan yang membunuhnya ialah anaknya (Abu Ubaidah). Hal ini diriwayatkan oleh At-Tabarani dan selain daripadanya melalui jalur Abdullah bin Syauzab secara mursal (tidak terdapat sahabat di dalam sanad tersebut).” (Fath Al-Bari, 7/93)

Kesimpulan

Justeru, melihat juga kepada penerangan yang diberikan oleh Mufti Wilayah, kisah Abu Ubaidah yang telah membunuh bapanya di dalam Perang Badar adalah lemah dan tidak disebut secara jelas kerana terputusnya sanad.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Benarkah Kisah Abu Ubaidah Yang Membunuh Bapanya Dalam Perang Badar first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.