Ayie Floor 88 Mahu Bertunang Setahun Sebelum Melangkah Ke Alam Perkahwinan
Vokalis Floor 88, Ayie dan tunangnya, Nur Natasha Ahmad Nawawi atau Tasha telah bersepakat untuk bertunang selama setahun sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Ayie atau pemilik nama sebenar Nik Fadlee Elhamsah berkata, dia dan tunangnya itu seboleh-bolehnya mahu mempercepatkan majlis kahwin.
“Kami menetapkan tempoh setahun bertunang itu cuma sekadar anggaran atau syarat. Namun, kalau boleh dipercepatkan perkara yang baik sebegini, insyaAllah kami mahu kahwin segera dalam tahun ini juga.
“Bagaimanapun, setakat ini belum ada tarikh tepat ke arah itu, malah saya sendiri terbuka untuk berkahwin muda. Jadi, saya ambil keputusan memberitahu keluarga untuk menyuntingnya sebagai tunang,” ujarnya.
Mengenai permulaan perhubungan dengan tunangnya itu pula, Ayie menyatakan bahawa sebelum ini mereka berkawan sahaja.
Jelasnya, tidak dinafikan dia memang berkawan dengan ramai wanita, namun hatinya benar-benar terpikat dengan Tasha.
“Sebenarnya kami kenal ketika makan di sebuah kedai di Hartamas tiga tahun lalu. Waktu itu saya baru habis acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Menerusi kawan, kami berkenalan. Setahun berkawan, seterusnya dua tahun selepas itu kami bercinta.
“Kalau ditanya apa yang membuat saya terpikat dengan Tasha, salah satunya disebabkan wajah manis dan matanya yang tajam,” katanya.
Sementara itu, Tasha pula mengakui bahawa Ayie ternyata mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya yang mementingkan keluarga.
“Pada mulanya saya tidak nafikan memang ada sedikit rasa cemburu kerana dia digilai ramai peminat.
“Namun begitu, lama-kelamaan saya sudah biasa dan memahami itu sebahagian daripada kerjanya,” katanya.
Pasangan tersebut telah melangsungkan majlis pertunangan di Lanai Anggun, Eco Sky, KL.
Malah Tasha turut menerima dua bentuk cincin iaitu merisik dan tunang daripada keluarga Ayie yang datang dari Sabah, manakala pihak Ayie turut menyerahkan lima dulang berbalas tujuh daripada Tasha.
Ayie dan Tasha juga menjadi rakan kongsi perniagaan kafe, Ayie Elham Cafe di Setapak.
Selain anggota Floor 88, majlis itu turut dimeriahkan teman artis seperti Adam Lee, Sweet Qismina dan Shahrul Amin. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Aqo Imran
The post Ayie Floor 88 Mahu Bertunang Setahun Sebelum Melangkah Ke Alam Perkahwinan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: