Zikir Ringkas Namun Berat Di Timbangan Yang Diajar Kepada Juwairiyah
Juwairiyah binti Al-Harits bin Abi Dhirar bin ‘Aidz bin Malik bin Khuzaimah merupakan salah seorang wanita daripada bani Mushthaliq.
Nama Juwairiyah dikurniakan oleh Rasulullah kepadanya apabila beliau telah masuk Islam dan berkahwin dengan Baginda. Sebelum ini, diriwayatkan nama asalnya adalah Barrah,
Perkahwinan mereka berlaku ketika Juwairiyah menjadi tawanan dalam sebuah perang. Akibat daripada pernikahan tersebut, semua tawanan daripada Bani Musthaliq telah dibebaskan dan memeluk Islam.
Ia adalah salah satu keberkatan yang muncul daripada pernikahan mereka. Beliau adalah isteri Rasulullah yang amat taat kepada Baginda dan juga Allah.
Kehidupannya yang sederhana dan rajin berzikir kepada Allah SWT menyebabkan setiap waktunya akan terluang dengan dihiasi zikir.
Ada sebuah riwayat yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan beliau sebuah zikir yang ringkas namun berat timbangannya.
Dari Juwairiyah, Nabi SAW pernah keluar pada waktu pagi setelah menunaikan solat Subuh, sedangkan pada waktu itu Juwairiyah sedang berada di tempat solatnya.
Selepas itu, Rasulullah pulang ke rumah semula apabila masuknya waktu Duha dan ketika itu Juwairiyah masih lagi berada di tempat duduknya.
Kemudian Baginda bertanya – “Adakah engkau berada dalam keadaan ini selama aku keluar tadi?”
Juwairiyah kemudian mengangguk. Baginda SAW bersabda:
لَقَدْ قُلْتُ بَعْدَكِ أرْبَعَ كَلِمَاتٍ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ، لَوْ وُزِنَتْ بِمَا قُلْتِ مُنْذُ اليَوْمِ لَوَزَنَتْهُنَّ : سُبْحَانَ الله وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ ، وَرِضَا نَفْسِهِ ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Maksud: “Sungguh, aku mengucapkan setelahmu empat kalimah sebanyak tiga kali. Jika kalimah ini ditimbang dengan ucapan yang engkau ucapkan sejak tadi, pasti ia akan menyamai timbangannya. Ia adalah سُبْحَانَ الله وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ ، وَرِضَا نَفْسِهِ ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ (Maha suci Allah. Aku memujiNya sebanyak makhlukNya, sejauh kerelaanNya, seberat timbangan ArsyNya dan sebanyak tulisan kalimatNya).” (HR Muslim, no. 2776)
Zikir ini sesuai untuk diamalkan buat anda sama ada mempunyai kekangan masa atau tidak bagi menambah timbangan pahala anda.
Rujukan:
Rumaysho.com
The post Zikir Ringkas Namun Berat Di Timbangan Yang Diajar Kepada Juwairiyah first appeared on Tazkirah.
No comments: