Ads Top

(Video) Gelagat Cikgu Ajar Murid Menari Lagu Tradisional ‘Ayam Didik’ Di Kelas Bikin Ramai Teruja

Baru-baru ini tular di Twitter satu video yang memaparkan seorang cikgu menari bersama anak-anak muridnya di dalam kelas.

Menariknya, tarian yang dilakukan mereka itu seakan-akan tarian tradisional, sambil berlatarbelakangkan lagu irama Melayu, ‘Ayam Didik’.

Tertarik dengan tarian yang ‘dipersembahkan’, video tersebut tular hingga telah ditonton sebanyak lebih 142,000 kali setakat ini.

Minat menari sejak darjah lima

Menurut Cikgu Farees, beliau sebenarnya sudah menceburi bidang tarian ini sejak berumur 11 tahun pada 2009 lalu atas dasar minat yang mendalam sebelum ‘terjebak’ secara aktif sehingga sekarang.

“Saya juga aktif menjadi penari bebas (freelancer dancer) di luar serta banyak terlibat dalam bermacam-macam jenis pertandingan dan persembahan.

“Saya juga mendapat tawaran untuk mengajar (tarian) di Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin, Nilai pada tahun 2019,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.

Jelas Cikgu Fareez atau nama sebenarnya Muhamad Farees Mohd Asri, 23, sejak detik itulah bermulanya karier beliau sebagai guru tarian bagi peringkat sekolah rendah hingga berjaya mencapai beberapa kejayaan.

“Pertama kali saya mengajar sekolah rendah tahun lepas (2019) dan sekolah itu saya pegang (mengajar tarian).

“Alhamdulillah kami juara dalam pertandingan tarian peringkat Negeri Sembilan dan berpeluang mewakili negeri ke peringkat kebangsaan pada tahun lepas. Dan tahun ini juga baru-baru ini kami juara dalam pertandingan tarian rampaian peringat negeri,” tambahnya lagi.

Minat memartabatkan tarian tradisi Melayu

Dalam pada itu, walaupun berjaya merangkul beberapa kejayaan, namun Cikgu Farees mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya.

Namun begitu, beliau tidak lokek untuk mencurahkan segala ilmu tariannya yang dipelajari selama ini kepada anak bangsa, dalam usaha turut memartabatkan nilai tarian tradisional.

“Saya mahir dalam tarian tradisional di Malaysia, tetapi tidak semahir sangat. Tapi, bolehlah ajar atas pengalaman yang pernah saya belajar menari dulu daripada koreografer-koreografer saya dulu.

“Saya mengajar tarian tradisional dalam Malaysia sahaja seperti inang, joget, zapin, kuda kepang, sewang dan banyak lagi,” katanya.

Cabaran menanam minat seni tradisional dalam jiwa anak murid ‘moden’

Mengajar ilmu tradisional kepada anak-anak murid sekolah rendah pada zaman moden hari ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun katanya, penerimaan ilmu tarian tradisional dalam kalangan anak muridnya begitu memberangsangkan setakat ini.

“Alhamdulillah, mereka sangat suka. Ibu bapa mereka pun sangat suka. Saya rasa terharu kerana bukan sahaja mereka suka belajar tarian tradisional ini, malah salah satunya juga mereka begitu teruja nak jumpa saya untuk belajar menari dengan saya. Itu yang buat saya terharu.

“Setakat ini cabaran daripada segi pendedahan (tradisional) pada zaman moden tidak, (kerana) mereka adalah anak-anak yang bagus,” katanya.

Mengajar menari melalui cerita sejarah

Selain itu, pelbagai usaha dijalankan Cikgu Farees dalam memastikan ilmu tariannya itu ‘sampai’ dan difahami dengan betul.

“Semuanya memang daripada ‘zero’ tidak tahu menari, keras, tiada ‘shape’ langsung. Tapi cara saya terapkan adalah saya tunjuk diri saya menari. Saya jadi contoh menari bagi step perempuan dan lelaki. Lepas itu mereka sendiri yang puji cakap, ‘sukaaanya tengok cikgu menari nampak cantik‘.

“Dari situlah mereka akan terikut-ikut saya, sebab cara saya terapkan kepada mereka, saya tunjuk skill saya menari dan buat mereka rasa terpegun dan ‘cair’.

“Saya juga banyakkan cerita-cerita sejarah tentang dari mana datangnya tarian joget ini? mana datang tarian zapin? kenapa zapin kena membongkok macam tu? Jadi saya bercerita sambil tunjuk pergerakan contoh sampai mereka seronok, terpesona dan terharu dengar dengan cerita sejarah tarian,” jelasnya lagi.

Sebenarnya, Cikgu Farees masih seorang pelajar

Jangan terkejut, Cikgu Farees bukanlah seorang ‘cikgu’ rasmi yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia sebenarnya.

Sebaliknya, beliau kini merupakan siswa tahun dua Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor.

Namun seperti yang dikatakan tadi, atas dasar minat yang mendalam, di samping usaha mencurahkan ilmu kepada anak bangsa, Cikgu Farees telah pun ‘berjaya’ menceburi bidang pendidikan dengan ‘menginfakkan’ ilmu dan dirinya sebagai tenaga pengajar ilmu tarian.

Langkah yang dibuat Cikgu Farees ini wajar menjadi contoh kepada orang lain, mungkin sebagai usaha memartabatkan tarian tradisional warisan anak bangsa di bumi bertuah ini.

Untuk melihat pelbagai lagi koleksi video tarian yang diajar bersama anak muridnya, warganet boleh menontonnya melalui akaun Instagram @fareesasrii.

Sumber: Farees Asri

The post (Video) Gelagat Cikgu Ajar Murid Menari Lagu Tradisional ‘Ayam Didik’ Di Kelas Bikin Ramai Teruja appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.