Ads Top

Hukum Meminta Semula Hadiah

Siapa yang tidak suka menerima hadiah. Ia membuatkan diri kita berasa istimewa kerana dihargai dan diingati. Namun anda pasti pernah berhadapan dengan orang yang suka mengungkit-ungkit dan suka menarik semula pemberiannya yang telah diberikan dengan rela sebelum itu.

Seperti dalam peribahasa Melayu, ia perbuatan “buruk siku”.

Bagaimanakah Islam menanggapi hal ini?

Di dalam Islam, ada beberapa istilah yang digunakan bagi perbuatan memberikan sesuatu kepada orang iaitu hibah, hadiah dan sedekah.

Hibah adalah akad yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.

Sedekah adalah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala.

Hadiah pada asasnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi.

Ulama mengatakan bahawa setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah dan bukan semua hibah adalah hadiah atau sedekah. Hibah konsepnya lebih umum berbanding hadiah dan sedekah.

Rukun-rukun hibah adalah seperti berikut:

  1. Pemberi dan penerima
  2. Sighah Aqad (Ijab dan Qabul)
  3. Barangan yang dihibahkan atau dihadiahkan

Ketiga-tiga rukun ini perlu dipenuhi barulah sesuatu akad hibah dianggap lengkap. Bermakna, jika seseorang ingin menghadiahkan barang kepada seseorang, barang itu hendaklah diterima oleh si penerima. Barulah sah penerima sebagai pemilik kepada hadiah tersebut.

Berbalik kepada soalan pada awal tadi – apa hukumnya seseorang itu meminta semula hadiah atau sesuatu yang telah diberikan, hadiah itu jelas telah menjadi hak milik penerima. Tambahan pula, aqad hadiah atau hibah adalah akad tabarrua’at (kebajikan) dan bukannya akad mu’awadhat (pertukaran).

Si pemberi tidak boleh lagi meminta semula hadiah atau apa jua yang telah diberikan, kecuali dalam situasi seorang ayah yang meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau seseorang yang melakukan akad hibah dengan syarat pertukaran.

Contohnya aktiviti bertukar hadiah, syarat tukaran adalah apabila pihak A memberi hadiah kepada pihak B dan pihak B pula memberi hadiah kepada pihak A. Di sini jika salah seorang tidak menepati syarat tersebut, contohnya pihak A sudah memberikan hadiah kepada si B, namun B tidak memberi apa-apa, maka A boleh menarik balik hadiahnya.

Ringkasnya, hukum meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan keadaan yang telah disebutkan di atas. Fahamilah bahawa perbuatan meminta semula hadiah atau pemberian adalah perbuatan yang buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Rujuakan:

  1. Mufti Wilayah Persekutuan



No comments:

Powered by Blogger.