Status Kisah Nabi Sulaiman Dan Pemuda Soleh Yang Berbakti Kepada Ibu Bapa
Ada sebuah kisah yang dinukilkan melalui kitab Al-Nawadir yang dikarang Ahmad Syihab Al-Din Al-Qalyubi mengenai Nabi Sulaiman AS yang telah bertemu dengan seorang pemuda yang diangkat kemuliaannya oleh Allah SWT.
Diriwayatkan bahawa amalan pemuda itu ialah telah menjaga dan berbakti kepada kedua ibu bapanya. Kisah ini diceritakan bermula apabila Nabi Sulaiman telah diperintahkan oleh Allah untuk pergi ke tepi laut bagi melihat sesuatu yang luar biasa.
Rombongan tersebut terdiri daripada kaumnya, iaitu jin dan juga manusia. Apabila sampai di sana, baginda tidak menemukan perkara yang luar biasa itu. Kemudian, baginda memerintahkan jin ifrit untuk menyelam ke dasar laut bagi mencari perkara tersebut.
Namun, jin ifrit tidak juga menemuinya. Kemudian, baginda menyuruh pula jin ifrit yang lain untuk menyelam dan mencarinya. Namun, tidak juga ditemui. Apabila tidak ditemui juga, baginda telah menyuruh menterinya pada waktu itu yang juga merupakan wali Allah untuk berdoa agar ditunjukkan perkara luar biasa itu.
Kemudian, muncullah seorang pemuda yang putih bersih dan suci orangnya. Baginda kemudian bertanya – “Amalan apa yang menjadikan kamu mulia seperti ini?”
Pemuda itu menjawab – “Aku telah menjaga ayahku yang lumpuh dan ibuku yang buta sepanjang 70 tahun. Sebelum kematian mereka, ibuku telah berdoa agar aku dipanjangkan umur dan manakala ayahku mendoakan agar aku dijauhkan dari tempat yang boleh didatangi syaitan.”
Pemuda itu bercerita lagi – “Aku datang dari zaman Nabi Ibrahim.”
Baginda AS terkejut kerana jarak zamannya dengan zaman Nabi Ibrahim agak jauh, namun pemuda itu masih lagi boleh hidup dalam keadaan tiada satu pun uban padanya. Kemudian, baginda mengajak pemuda itu hidup di kerajaannya, namun pemuda itu menolak.
Status Kisah Ini
Kisah ini sering diperdengarkan dan dilihat di mana-mana tulisan bagi menggambarkan peri pentingnya seorang anak itu berbakti dan berbuat baik kepada orang tuanya.
Namun, menurut penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah dan jumhur ulama lain seperti Imam Nawawi, kisah ini tidak dijumpai sanad yang sahih akannya.
Walaupun ia ada dinyatakan dalam kitab al-Nawadir, namun ia tidak disertai dengan sanad atau rujukan yang jelas bagi melihat kesahihan cerita tersebut.
Bahkan, ada juga ulama lain yang berpedapat bahawa ia adalah kisah Israiliyyat yang direka-reka sahaja.
Jadi, adalah lebih baik untuk tidak menjadikan kisah di atas sebagai sebaran dalam menyampaikan ajaran Islam kerana kita tidak pasti akan kesahihannya.
Ada banyak lagi kisah yang dijadikan inspirasi untuk berbakti kepada kedua orang tua seperti kisah Uwais Al-Qarni.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Mufti Wilayah
No comments: