6 Perkara Ini Perlu Diawasi Sewaktu PKP
Rutin yang sama setiap hari dapat menjadikan kita hidup dalam mod auto-pilot, seperti kenderaan yang diset bergerak sendiri tanpa dikawal secara manual oleh manusia.
Ia umpama kita hidup secara automatik tanpa benar-benar sedar apakah kita melakukan hal yang betul, bermanfaat dan bermakna. Perkara ini juga boleh terjadi semasa kita sedang melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kita tidak dapat keluar dari rumah dan mungkin terperangkap dalam putaran situasi yang sama. Sedar-sedar sahaja nanti PKP sudah berakhir dan tidak ada perkara baru yang dipelajari. Justeru, bagi memastikan kehidupan yang dilalui semasa PKP lebih bermakna, ada enam perkara yang perlu diawasi.
#1- Usah Membazir
Tempoh PKP menjadikan kita semua lebih menumpukan kepada keadaan kewangan diri serta keperluan makanan yang perlu dicari. Ada yang memilih untuk membeli bekalan makanan untuk tempoh beberapa minggu dalam kuantiti yang banyak. Ada pula yang hanya dapat berbelanja sedikit demi sedikit kerana kekangan duit.
Sekalipun anda mungkin tidak mempunyai masalah kewangan, namun janganlah sampai membazir – sama ada ketika membeli mahupun semasa memasak (kuantiti masakan). Elakkan makanan berlebihan dan hanya akan dibuang apabila basi dan tidak habis.
#2- Berjimat Cermat Untuk Hari Akan Datang
Pesan orang tua-tua, ‘jangan membesarkan kerak nasi’. Maksudnya usah berbelanja lebih dan membazir.
Dalam situasi sekarang, pelbagai jenis dana dan bantuan disediakan sama ada oleh badan-badan kerajaan mahupun pihak-pihak bersendirian. Seorang yang bijak dalam menguruskan kewangan pastinya akan beringat untuk keperluan hari akan datang.
#3- Jaga Kebersihan Diri
Sekalipun kita banyak menghabiskan masa di rumah dan tidak berjumpa orang, namun itu tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya mengenepikan soal kebersihan diri.
Jika sebelum ini kita akan bersiap dengan wangi, bersih dan cantik untuk keluar bekerja, maka begitu juga apabila kita hanya bersendirian di rumah.
Jaga kebersihan diri seperti memotong kuku yang panjang, menyikat rambut, memakai baju yang bersih dan lain-lain.
#4- Menggunakan Masa Sebaiknya
Sesetengah orang menghilangkan rasa bosan semasa PKP ini dengan menonton cerita di kaca TV atau Netflix. Tidak salah, jika anda mampu mengawal masa yang diperuntukkan dan tidak hanya melekat di skrin.
Gunakan masa yang ada sebaiknya tidak kira dengan diri sendiri, rakan-rakan dan ahli keluarga. Jangan mengurung diri anda dalam rutin sama sahaja – bangun, makan, menonton cerita dan tidur.
Cari cara yang kreatif untuk menghargai masa seperti melakukan persiapan menyambut Ramadan dengan belajar mengaji, menjaga masa solat, mengekalkan stamina dengan melakukan senaman ringan dan lain-lain.
#5- Kekalkan Komunikasi Secara Sihat
Pertengkaran dan perselisihan faham pasti akan terjadi apabila kita berkomunikasi dengan seseorang. Komunikasi secara sihat tetap perlu dipastikan tidak kira sama ada anda melalui tempoh PKP dengan ahli keluarga atau berseorangan.
Pastikan komunikasi berlaku dengan jelas dan telus. Wujudkan perbincangan yang sihat agar pendapat masing-masing boleh didengari dan difahami secara objektif.
#6- Sentiasa Sedar Dengan Keadaan Emosi Anda
Emosi adalah suatu hal yang kadang-kadang sukar dikenal pasti. Contohnya anda sedang marahkan si A, tetapi tidak sedar bahawa anda juga sedang melampiaskan kemarahan tersebut kepada si B.
Lakukan self-check atau semak diri untuk mengenal pasti emosi yang sedang dirasai dan apakah puncanya. Tanyakan soalan,
“Apa yang sedang aku rasa sekarang?”
“Mengapa aku rasa begini?”
Dengan cara ini anda dapat mengenal pasti emosi seterusnya membuat keputusan apa yang perlu dilakukan.
Kata orang, jika kita gagal merancang, kita sedang merancang untuk gagal. Hal ini termasuklah dengan cara kita melalui tempoh PKP ini – adakah berkualiti atau sebaliknya. Semoga dengan tips ringkas ini dapat memberi pedoman kepada kita semua tentang bagaimana untuk menjalani tempoh PKP ini dengan lebih baik.
No comments: