Wann Tak Selesa Rambut Terdedah, Mohon Peminat Doa Bertudung Litup
Penyanyi Wann yang cukup terkenal dengan lagu Bossanova mengharapkan peminat mendoakan dirinya agar tampil dengan imej bertudung litup di masa akan datang.
Sejak empat tahun lalu, penyanyi bernama lengkap Wan Rashidah Meor Abdul Rashid sudah mula mengenakan selendang sebagai imej hariannya.
“Saya macam tidak selesa kalau rambut tidak bertutup, doakan saya bertutup dengan lebih ‘proper’ ya, memandangkan usia pun akan menjengah 50 tahun pada tahun hadapan.
“Kalau ada yang kecam kata pakai selendang tapi nampak rambut sejemput di depan, saya tidak cepat melatah kerana asam garam kehidupan selebriti untuk melalui perkara sebegitu. Kenapa perlu saya marah mereka (netizen) kalau ada yang kecam, sebaliknya saya aminkan sahaja doa-doa mereka yang mahukan saya menutup aurat dengan ‘proper’. Doakan saya ya,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Wann ditemui pada majlis sidang media pengenalan barisan bintang yang menyertai program Gegar Vaganza 6 yang berlangsung di Theater The Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam.
Bercakap mengenai penglibatannya dalam program itu, Wann berkata ini merupakan kali ketiga pihak Astro menawarkan slot kepadanya untuk menyertai GV.
“Kalau nak tahu, pihak produksi Astro sudah tiga kali lamar saya untuk sertai GV sejak daripada musim pertama lagi, tapi saya masa itu tidak bersedia. Bila fikir-fikir balik, untuk kali ketiga ini wajar saya ambil peluang ini untuk mencabar diri sendiri menyanyi lagu daripada pelbagai genre berbeza.
“Lagipun saya teringin nak masuk studio balik, kalau dengan ‘comeback’ saya ini dapat buat satu lagi single baharu itu pun dah cukup okay bagi saya,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai ramalan ramai yang mengatakan dia merupakan antara calon juara GV6, Wann dengan merendah diri berkata, “Janganlah begitu, saya tidak hebat mana, saya pun tak pernah menang apa-apa anugerah. Dalam GV6, semua bintang yang bertanding saya hormat dan semuanya merupakan pesaing hebat bagi saya.”
GV6 bakal memulakan siarannya pada 13 Oktober ini, setiap Ahad jam 9 malam dan akan bersiaran langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
13 bintang yang bertanding dalam GV6 ialah Wann, Mazlela, Feeza, Nurfatima, Noorshila Amin, Sham Visa, Jatt Black Dog Bone, Naqiu Boboy, Roy, Hady Mirza, Ameer Sofazr dan dua artis berkumpulan iaitu Kool dan One Nation Emcees. – KopiPlanet.com
The post Wann Tak Selesa Rambut Terdedah, Mohon Peminat Doa Bertudung Litup appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: