Ads Top

Ulasan Buku; Allah Dekat Tiada Gawat

Fenomena masa kini amat membimbangkan setiap manusia. Pelbagai gejala dan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ada yang memilih untuk membunuh diri kerana tidak tahan dan tidak kebal menghadapi ujian dan tribulasi kehidupan dunia. Jadi persoalannya kenapa? Apa sebabnya? Antara sebab utamanya adalah hubungan kita dengan Allah S.W.T.

Oleh itu, dapatkanlah sebuah buku yang santai dan jelas mesejnya telah pun sampai di pasaran. Buku ini diberi judul Allah Dekat Tiada Gawat.

Sesungguhnya saya terasa ‘enak’ dan ‘lazat’ tatkala membaca setiap helaian buku tersebut. Hasil karya Ustaz Pahrol Mohd Juoi sentiasa mencuit perasaan dan menyentuh sanubari.

Buku ini sebenarnya adalah satu himpunan dan koleksi kata pengarang yang terdapat di majalah Solusi. Antara majalah yang masih bertahan dan kekal sehingga kini. Alhamdulillah.

Setiap coretan beliau pasti ada hikmah dan pengajaran yang dapat kita ambil bersama. Ringkas ayatnya namun padat isi yang terkandung. Mengumpulkan pelbagai tajuk kecil yang menyentuh setiap kehidupan seharian kita.

Terdapat dua bahagian yang dikupas iaitu mengenai iman dan juga kasih sayang. Masing-masing penting. Iaitu dua aspek mengenai hubungan dengan Allah S.W.T dan juga hubungan dengan manusia.

Buku ini sewajarnya dimiliki oleh setiap generasi. Terutamanya generasi muda yang sedang menempuhi kehidupan yang mencabar pada hari ini. Yang sedang mencari identiti dan wajah yang sebenar.

Membacanya tidak terlalu berat untuk di’telan’ dan ia dipenuhi dengan gambar-gambar menarik yang akan membuatkan kita tidak bosan untuk meneruskan pembacaan.

Setiap situasi dan isu yang dikupas sering terjadi dan sedang kita alami ketika ini. Ia memberi solusi untuk kita dan memberi nasihat pada hati apa yang benar dan patut dilakukan.

Antara isu yang dikupas adalah mengenai soal hati, hiburan, berkenaan isu tawakal dan rezeki, hidup dalam berjemaah serta bersatu padu, apabila Islam dilihat tidak indah dan pelbagai lagi isu lain yang tidak harus kita pandang remeh.

Berbalik kepada persoalan di awal artikel ini, punca terjadinya segala yang tidak diingini adalah disebabkan betapa jauhnya hubungan kita dengan Allah S.W.T.

Kita tidak merasai Allah S.W.T dekat dengan kita. Oleh kerana itu, judul Allah Dekat Tiada Gawat amatlah bersesuaian untuk menyimpulkan segala yang terjadi. Ia telah memberi jawapan yang patut kita renungi bersama.

Kembali Kepada Allah

Benarlah walau sejauh dan sehebat mana sekalipun kita, pada satu saat kita seperti merasa kosong dan sunyi dalam hati. Pangkat sudah kita miliki. Harta sudah bertimbun tinggi.

Namun, kekosongan jiwa tidak dapat dipenuhi. Kenapa? Kenapa boleh jadi begitu? Segala kemewahan sudah penuh dan sedang berdakap dengan kita tetapi bahagia sebenar masih tidak terasa.

Satu lubang dan satu kekosongan yang perlu diisi dan ditampal itu adalah kembali kepada Allah S.W.T. Itulah kekosongan yang perlu dicari dan didekati. Tidak salah harta dan tidak salah pada pangkat.

Namun, jangan berlebihan hingga terlupa kepada Pencipta kita. Perjalanan kita sangat singkat di dunia dan tempat kembali kita adalah di akhirat sana. Kita bakal bertemu dengan Allah S.W.T. Jadi jangan lupakan Allah semasa hidup di dunia.

Tatkala diuji, terimalah dengan hati yang redha. Memang pahit tetapi itulah antara bukti kita untuk menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepadaNya.

Di mana tahap keimanan kita ketika di‘simbah’ dengan masalah dan ujian hidup. Segalanya pasti ada kebaikannya dan hikmah yang terselindung.

Kesimpulan

Buku Allah Dekat Tiada Gawat mempunyai 56 bab yang cukup menarik untuk diambil peringatan dan pengajaran bersama.

Ayuhlah kita jadikan buku ini antara buku ‘resepi’ untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan pada ‘masakan’ kehidupan kita. Insha Allah, mungkin ada jawapan yang selama ini kita sedang cari ada di dalam buku ini.

Sesungguhnya setiap manusia tidak terlepas daripada kesilapan. Dan tidak ada manusia yang sempurna dari segala segi.

Jika tidak mampu amalkan semua di dalam buku ini, amalkanlah sebahagiannya. Sekurang-kurangnya kita ada usaha untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Waallahua’lam.




No comments:

Powered by Blogger.