Ads Top

Tingkatkan Keyakinan Diri Dengan Melihat Cermin

Salah satu cara Allah memberikan kebaikan dan hidayah kepada seseorang ialah dengan menghadirkan orang-orang yang baik di sekeliling kita sebagai cerminan untuk kehidupan kita sekali gus untuk memandu hidup kita ke jalanNya.

Cermin itu sinonim dengan pantulan yang ada, terhasil dari apa yang ditonjolkan. Jika muka dihadapkan ke cermin, maka hasilnya akan terlihatlah muka anda. Jika bahagian mata yang dihadapkan, maka mata yang akan dipaparkan oleh cermin tersebut.

Tidak kira sama ada cermin itu kecil atau besar, ia membawakan fungsi yang sama, iaitu pantulan dari apa yang ditonjolkan.

Cermin juga sinonim dengan perumpamaan kawan. Jika ingin menilai kebaikan atau keburukan diri anda, lihatlah dengan siapa anda berkawan. Mungkin, dari situ anda akan mengetahui mengapa anda sedemikian.

Betul atau tidak kata-kata yang sering kita dengar itu? Atau ia hanya sekadar basa-basi untuk menganjurkan pemilihan kawan yang baik-baik?

Sebagaimana cermin memantulkan apa yang ada pada diri luaran, begitulah juga dengan rakan. Untuk melihat kebaikan dan kelebihan yang ada pada diri kita, tanyalah kawan. Hal ini kerana, kawan selalunya akan mengatakan perkara yang baik-baik mengenai kita. Jika dia ingin mengata atau memberitahu keburukan, pasti dia akan mencuba untuk menjaga hati anda.

Namun, untuk melihat keburukan yang ada dalam diri kita, jadikan musuh sebagai cerminan anda kerana mereka kebiasaannya akan bercakap perihal yang kurang enak didengar dan selalu berusaha untuk mengorek kesalahan yang ada.

Melalui itu, anda akan lebih berhati-hati dengan perlakuan diri anda sekali gus boleh membaiki kelemahan dan keburukan yang ada.

Walau bagaimanapun, cermin yang sebenar dan paling sesuai untuk anda ialah diri anda sendiri. Apa yang mulut anda keluarkan adalah daripada sudut hati anda. Jika baik, maka eloklah percakapan anda.

Apa yang anda lakukan setiap hari adalah berdasarkan kepada pantulan mental dan fikiran anda. Jika emosi marah yang anda keluarkan, maka mental anda sedang menunjukkan emosi ketidakpuasan hati terhadap sesuatu dan sebaliknya.

Sekarang, anda dapat bayangkan dan melihat setiap sesuatu perbuatan yang berlaku adalah pantulan daripada dalaman anda sendiri, bukan?

Oleh itu, berusahalah untuk menjaga diri anda dari dalam agar setiap sesuatu yang berlaku membawa kepada keindahan semata-mata.

“Sesungguhnya Allah itu indah dan sangat menyukai keindahan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 0071)

Bersyukur Ketika Melihat Diri Sendiri

Setiap hari, ketika anda melihat cermin, pernahkah terdetik di hati anda untuk mengucapkan rasa syukur? Syukur kerana hari ini kita diberi lagi nafas dan peluang untuk menjadi lebih baik.

Syukur kerana hari ini Allah masih menyayangi dengan memberi ruang kepada anda untuk bangun beribadah kepadaNya.

Syukur kerana mata ini masih lagi mampu melihat diri sendiri di balik cermin yang besar di hadapan anda.

Walaupun hari yang bakal dilalui dirasakan amat berat, namun dalam masa yang sama kita perlu mengucapkan syukur kerana Allah masih lagi mengingat hambaNya dengan menghantarkan ujian untuk menguatkan lagi.

Syukur itu tanda kita menghargai apa yang tuhan berikan dan sebagai bukti kita memuji diri sendiri. Memuji di sini bukanlah dengan menimbulkan riak dan takbur dalam diri, namun memuji setiap ciptaan yang telah Allah berikan kepada anda.

Mempunyai mata, tangan, kaki dan rambut itu merupakan anugerah dari Tuhan untuk anda jaga dan gunakan dengan sebaik-baiknya. Jika bukan anda yang memuji diri anda, daripada siapa lagi anda harapkan pujian itu akan datang?

Dr Osman Affan, seorang penceramah motivasi terkenal pernah bercerita perihal pujian terhadap diri sendiri, iaitu – “Salah satu cara untuk meningkatkan keyakinan terhadap diri sendiri ialah dengan mula berkata perkara yang baik-baik dan positif terhadap diri sendiri.

Cuba amalkan dengan memuji ‘saya cantik’ atau ‘saya boleh’ di hadapan cermin pada setiap pagi sebelum memulakan hari anda. Pasti anda akan mendapat kesan yang positif.

Hal ini kerana, kata-kata terhadap diri anda akan memberikan isyarat kepada otak untuk melaksanakan dan mengekalkan mesej tersebut dan ia sekali gus boleh memberi kesan yang positif bukan sahaja kepada aura diri anda malah kepada sekeliling juga.”

Bercakap dengan diri sendiri tidak dianggap gila jika ia adalah untuk tujuan memotivasikan diri anda. Malah, menurut beberapa kajian di universiti Amerika Syarikat, ia adalah perbuatan yang digalakkan untuk meningkatkan aura positif dalam diri anda.

Oleh itu, mulakan pagi anda dengan melihat cermin dan berkata yang baik-baik terhadap diri sendiri. Jangan menunggu pujian daripada orang lain, tetapi mulakan dengan mendapatkan pujian daripada diri anda kepada anda.

Adab Melihat Cermin

Sekecil-kecil perkara yang dilakukan, namun jika diniatkan kerana Allah dan mengikut sunnah yang dianjurkan, maka ia akan dinilai sebagai salah satu amalan yang besar pahalanya di sisi Tuhan.

Begitu juga dengan melihat cermin. Ia kelihatan perkara biasa, namun jangan dianggap remeh kerana dengan melihat cermin juga anda boleh mendapat pahala yang melimpah-ruah. Antara sunnah yang dianjurkan ialah:

#1 – Membaca Doa

Setiap perkara yang dianjurkan di dalam dunia ini, pasti ada doa yang diajarkan hatta dengan melihat cermin pun, anda boleh amalkan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ini.

اللَّـهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي

Mafhumnya: Ya Allah, sebagaimana Engkau telah mencantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku. (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa, dengan membaca doa ini, kita sekali gus telah meminta kepada Allah untuk mencantikkan akhlak, bukan sahaja rupa. Malah, ia juga untuk mengelakkan daripada terkena gangguan yang tidak diingini sama ada gangguan emosi atau dari makhluk lain.

#2 – Jangan Menghina Diri atau Sombong

Tahukah anda, jika anda berdiri di depan cermin dalam waktu yang lama, ia boleh membahayakan hati dan perasaan anda. Rasulullah SAW tidak menganjurkan berdiri lama-lama di hadapan cermin.

Ia adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan tawaddud dan sombong. Tawaddud bermaksud menghina diri manakala sombong bermaksud terlalu meninggi diri.

Jangan terlalu merendah diri sehingga menghina apa yang ada dalam diri anda dan jangan terlalu sombong dengan kelebihan yang ada. Kuncinya, bersederhana dalam memuji diri sendiri.

Terdapat sebuah kajian daripada universiti di Jepun berkenaan reaksi otak terhadap cermin. Ia menunjukkan bahawa, jika anda melihat cermin terlalu lama lebih daripada sepuluh minit, anda akan mula melihat perkara yang pelik seperti muka yang kurang cantik atau sebagainya.

Ia menunjukkan bahawa otak kita mula bosan terhadap refleks yang terlalu lama sehingga ia menimbulkan halusinasi yang berbeza. Oleh itu, melihat cermin adalah sekadarnya dan tidak perlu terlalu lama.

#3 – Jangan Menggunakan Perhiasan Secara Berlebihan

Allah SWT tidak melarang hambaNya untuk berhias, namun Dia melarang hambaNya berlebih-lebih dalam berhias.

Berhiaslah ala kadar. Jangan sehingga menimbulkan fitnah, tabarruj atau menaikkan nafsu syahwat ajnabi.

Berdasarkan firman Allah dalam kalamNya yang berbunyi:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Mafhumnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya? Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.” Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat yang (mahu) mengetahui.” (Surah Al-A’raf, 7: 31-32)

#4 – Jangan Mengubah Ciptaan Allah

Allah SWT melarang dan melaknat hambaNya daripada mengubah ciptaanNya. Hal ini ada dirakamkan melalui hadis Rasulullah SAW yang berbunyi:

عن ابن مسعود رضى الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لعن الله الواشمات والمستوشمات والمتنمصات والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله

Maksud: “Daripada Ibnu Mas’ud RA katanya, sabda Rasulullah SAW: Allah melaknat perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, yang mencukur alis, yang menjarangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Anda boleh berhias, menconteng muka dengan mekap, namun jangan sesekali mengubah ciptaanNya. Ciptaan Allah itu Maha Indah dan tiada tangan lain yang boleh menandingi ciptaanNya.

Kekalkan Yang Baik, Baiki Yang Buruk

Berdasarkan sebuah ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad, beliau mengatakan bahawa jika anda melihat cermin, lihatlah kelebihan dan keburukan yang ada pada diri anda.

Apa yang baik, kekalkan dan niatkan di hati semoga dapat memberi manfaat buat orang sekeliling dan apa yang buruk, buang atau jika mampu, baikilah. Semoga keburukan itu tidak menjejaskan diri sendiri dan orang sekeliling.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.