Seni Bacaan Al-Quran Dan Asal Usul Qiraat Sab’ah
Qiraat adalah perkataan jama’ bagi perkataan qira’ah yang bermaksud bacaan. Ia merupakan kata nama terbitan daripada perkataan Arab (Qara’a) yang bererti baca.
Qiraat juga adalah cara-cara menyebut kalimah yang terdapat dalam Al-Quran al-Karim dari aspek takhfif, tasydid, perbezaan lafaz-lafaz al-Quran pada huruf-hurufnya.
Menurut Imam Al-Zarkasyi, qiraat ialah perbezaan lafaz-lafaz Al-Quran, sama ada berkaitan huruf-hurufnya ataupun cara sebutan huruf-huruf tersebut.
Manakala menurut Imam Ali As-Sobuni, qiraat adalah suatu aliran atau bidang ilmu di dalam melafazkan Al-Quran yang dipakai oleh imam-imam quraa’ yang masing-masingnya memilih cara bacaan yang berbeza, berdasarkan dalil (sanad-sanad) yang bersambung kepada Rasulullah SAW.
Tujuh jenis qiraat yang bersandarkan kepada tujuh tokoh ahli qiraat yang masyhur ialah:
1. Imam Nafi’ ibn Nu’aim Al Madani, guru qiraat di Madinah.
2. Imam Abdullah ibn Katsir Al Makki, guru qiraat di Makkah.
3. Imam Abu ‘Amru al-Bashri, guru qiraat di Basrah.
4. Imam Ibn ‘Amir al-Dimasyqi, guru qiraat di Damsyik.
5. Imam ‘Asim al-Kufi, guru qiraat di Kufah.
6. Imam Hamzah ibn Habib (Abu Ummarah), guru qiraat di Kufah.
7. Imam Abu al-Hassan Ali bin Hamzah (Digelar Al-Kisa’i), guru qiraat di Kufah.
Sejarah Timbulnya Perbezaan Ilmu Qiraat Al-Quran
Pendapat pertama mengatakan bahawa Qiraat mula diturunkan di Mekah bersama-sama turunnya Al-Quran.
Hujah yang diguna pakai dalam hal ini adalah berdasarkan peristiwa bacaan Surah Al-Furqan dengan sebutan yang berbeza antara Hisyam bin Hakim dan juga Saidina Umar bin Al-Khattab.
Saidina Umar berasa tidak puas hati dengan gaya bacaan Hisyam di dalam solat dan menyatakan bahawa bacaan tersebut salah dan berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi SAW. Namun Hisyam menegaskan bahawa bacaannya juga berasal daripada Nabi. Lalu kedua-duanya pergi berjumpa Nabi SAW untuk bertanya. Nabi menyuruh Hisyam mengulangi bacaannya sebagaimana di dalam solat tadi.
Selepas Hisyam selesai membacanya, Nabi bersabda:
فقال : “هكذا أنزلت. أن هذا القرآن أنزل على سبعة أحرف، فا قرءوا ما تيسر منه”
Maka Rasulullah SAW bersabda: “Begitulah ia diturunkan, Sesungguhnya Al-Quran ini telah diturunkan dengan tujuh huruf, maka bacalah apa yang mudah daripadanya”
Huruf di sini bermaksud bentuk atau cara bacaan. Ia ditegaskan lagi dengan hadis daripada Ibnu Abbas yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Jibril membaca kepadaku (Al-Quran) dalam satu huruf (bentuk), aku pun mengulanginya, maka aku terus meminta ditambahkan lagi (bentuk lain) dan Jibril pun menambahkannya sehinggalah terhenti kepada tujuh huruf (bentuk).
Subhi Salih pula telah membahaskan maksud sab’ah (tujuh) ahruf merangkumi perbezaan dari segi i’rāb, huruf sama ada berubah maksud tanpa bentuk susunan atau sebaliknya, nama-nama seperti mufrad (bilangan satu), thāniyyah (bilangan dua), jama’ (bilangan ramai), tazkīr (kata nama untuk lelaki) dan ta’nīs (kata nama untuk perempuan), dengan menukarkan perkataan dengan perkataan, kedudukan perkataan sama ada mendahului atau mengakhiri, menambah atau mengurangkan perkataan, loghat atau dialek.
Pendapat kedua mengatakan bahawa Qiraat bermula di Madinah setelah peristiwa Hijrah, di mana orang-orang yang masuk Islam semakin ramai dan mempunyai ungkapan bahasa Arab yang berbeza-beza dialeknya.
Tidak kira apa pun pandangan yang dipegang namun satu perkara yang disepakati adalah bacaan Quran dalam tujuh bentuk ini adalah berasal daripada Rasulullah SAW sendiri dan bukan ijtihad daripada para sahabat.
Para sahabat ada yang belajar secara bertalaqqi secara terus dengan Rasulullah SAW, dan ada pula yang mengambilnya daripada sahabat yang lain . Antara mereka yang berperanan besar adalah para huffaz penghafal Al-Quran pada zaman baginda seperti Muaz bin Jabal, Ubay bin Ka’ab, Zaid bin Thabit, Ubadah bin Samit dan lain-lain.
Para sahabat kemudiannya gigih menyebarkan ilmu qiraat ini ke pelusuk negara-negara Arab yang lain sehingga dapat dicatatkan secara sahih dan mutawattir menjadi satu disiplin ilmu.
Antara hikmah di sebalik kelonggaran untuk membaca Al-Quran dalam tujuh cara bacaan ini adalah untuk memudahkan kabilah Arab ketika itu untuk membaca Al-Quran mengikut loghat dan dialek mereka.
Umat Islam di Malaysia pula kebanyakannya membaca menggunakan qiraat حفص عن عاصم (Hafs dari ‘Asim). Perbezaan dalam dialek dan bacaan Al-Quran sebenarnya sangat unik dan menggambarkan keindahan Al-Quran. Sekalipun ada perubahan dan perbezaan yang berlaku, ia masih mengekalkan maksud dan konteks ayat tersebut. Inilah salah satu mukjizat Al-Quran yang sungguh menakjubkan.
No comments: