Ads Top

Awie ‘Cabar’ Peminat Datang Konsert Wings Pakai Baju Pendekar

Bersempena dengan Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface yang bakal dijayakan pada 4 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie mencabar semua peminat agar hadir berpakaian seperti pendekar Melayu.

Menurut Awie, walaupun konsert ini berkonsepkan rock dan metal namun dia mahu menerapkan akar umbi orang Melayu dalam persembahan yang dijayakan mereka nanti. Selain Awie, Wings turut dianggotai Edrie, Eddie, Sham dan Black.

“Saya galakkan penonton pakai baju seperti pendekar Melayu untuk berhibur dengan kami. Ini bukan satu kemestian tapi saya nak tengok beranai ramai peminat Wings yang berani menggayakan imej tersebut sambil dihiburkan dengan muzik rock dan metal.

“Siapa yang hadir berpakaian paling cantik, kami ada sediakan hadiah untuk tujuan itu. Hadiah tidak boleh diumumkan lagi. Kena datang konsert dulu baharu tahu. Ini merupakan salah satu usaha kami untuk mencantikkan lagi konsert ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.

Awie selaku penganjur konsert menerusi syarikatnya, Awie Entertainment Sdn Bhd berkata Wings menjanjikan kelainan dalam konsert kali ini bagi menghargai sokongan peminat sejak mereka menceburkan diri dalam industri 34 tahun lalu.

“Tahun depan Wings dah 35 tahun, itu bukan suatu tempoh yang sekejap. Jadi, kami ingin hadiahkan sesuatu buat peminat yang setia menyokong. Antara kelainan yang kami janjikan ialah kami akan mainkan lagu Wings yang sebelum ini tidak pernah kami mainkan secara live.

“Untuk persediaan konsert kali ini kami sangat bekerja keras, kalau selalunya kami akan berlatih selama empat jam namun untuk konsert ini kami berlatih lebih daripada empat jam sehari bagi memastikan semuanya berjalan lancar kelak,” katanya.

Sementara itu, Bunface yang dianggotai Sam, Paan dan Youk berkata mereka cukup bangga apabila dipilih bersama-sama menjayakan persembahan dengan kumpulan legend yang juga merupakan idola mereka.

“Walaupun genre muzik kami berbeza tapi muzik itu luas. Kami sangat berbangga diberi kesempatan berada satu pentas dengan Wings. Kami akan buat kelainan dengan menyanyikan lagu Wings dan begitu juga Wings akan menyanyikan lagu kami.

“Kami dah tak sabar nak jayakan konsert ini jadi jemput datang beramai-ramai,” kata Sam mewakili rakan-rakannya.

Tiket konsert berharga RM150 dan RM450 (akses ke sesi soundcheck) boleh didapati dengan melayari laman Instagram @sayap2wings dan Facebook Sayap-sayap Wings atau hubungi hotline 019-7082871. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.