Ads Top

6 Sifat Yang Seharusnya Kita Hindari

Sifat mazmumah ialah sifat-sifat yang buruk dan tercela. Sebagai seorang muslim kita seharusnya menjauhi semua sifat-sifat mazmudah bagi menjamin kualiti seorang muslim yang beriman dan taat kepada Allah S.W.T. Mari kita lihat apakah sifat-sifat mazmumah yang perlu kita hindari:

#1- Terlalu Banyak Bercakap

Terlalu banyak bercakap adalah salah satu daripada sifat mazmumah. Di dalam Islam, Allah menyuruh ummatnya untuk sentiasa menjaga lidah dan menghalangnya daripada berkata sesuatu yang sia-sia.

Banyak berbicara akan menyebabkan seseorang itu cenderung untuk bercakap sesuatu yang sia-sia.

Akhirnya akan membawa kepada perbuatan mengumpat, menfitnah, mencela dan menyakiti orang lain yang akhirnya akan memjerumuskan kita ke arah perbuatan dosa dan maksiat. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan tetap ditanya tentang apa yang dilakukannya” Surah Al-Isra’

Namun, percakapan yang membawa kepada kebaikan serta menyuruh kepada ketaatan kepada Allah adalah disuruh dan amat dituntut. Cuba lihat pada hari ini, sudah berapa banyak kerosakan yang telah berlaku hanya kerana lidah seseorang?

#2- Bersifat Sombong

Sombong ialah sifat angkuh ataupun bongkak seseorang oleh kerana dia memiliki kelebihan yang tertentu. Orang yang sombong akan sentiasa melihat dirinya sebagai seseorang yang lebih mulia, lebih pandai dan lebih hebat daripada orang lain.

Sifat sombong juga adalah antara sifat tercela yang dibenci oleh Allah. Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri”Surah Luqman :18

Allah S.W.T juga berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri”Surah an Nahl :23

Hakikatnya, kenapa kita harus menyombongkan diri? Bukankah segala yang kita miliki saat ini adalah hanya sebuah pinjaman dan semuanya adalah milik Allah.

#3- Pemarah

Sifat marah sedikitpun tidak akan membawa kepada kebaikan. Malah sifat kemarahan yang melampau boleh merosakkan sesebuah hubungan silaturrahim di antara sesama sendiri.

Islam menganjurkan kepada kita untuk sentiasa saling bertoleransi, tenang dan sabar di dalam menghadapi sesuatu permasalahan yang bercanggah ataupun tidak disenangi. Allah berfirman yang bermaksud :

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan mengerjakan solat, kerana sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar”Surah al Baqarah :153

Antara perkara yang telah dianjurkan oleh umat Islam ketika mana menghadapi sifat marah ialah dengan segera mengambil wuduk. Rasulullah S.A.W bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud :

“Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api dan api akan mati apabila disiram air, maka apabila marah seseorang di antara kamu maka hendaklah dia berwuduk”Riwayat Abu Dawud

#4- Terlalu Banyak Makan

Makan yang berlebihan adalah sesuatu yang turut ditegah di dalam agama kerana berlebihan di dalam makanan akan menyebabkan seseorang itu merasa malas untuk beribadah dan cenderung melakukan perbuatan dosa.

Mereka yang makan berlebihan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya. Orang yang sentiasa makan berlebihan juga akan menjadi lemah ingatan dan kurang kebijaksanaannya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai anak-anak adam, pakailah pakaian kamu yang indah dan berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas”Surah al A’raf : 31

Memadailah seseorang itu makan untuk sekadar memberi keselesaan padanya untuk melakukan ibadah kepada Allah. Rasulullah SAW adalah seseorang yang sedikit makannya dan banyak ibadahnya.

#5- Hasad Dengki

Hasad dengki ialah suatu perasaan benci ataupun tidak suka seseorang kepada kenikmatan dan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain.

Hasad dengki hanya akan menimbulkan permusuhan dan pergaduhan sesama sendiri. Allah berfirman yang bermaksud:

“Alangkah buruknya hasil perbuatan mereka yang menjual dirinya sendiri dengan kekafiran yang telah diturunkan Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan karuniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya kerana itu mereka mendapat murka dan untuk orang-orang kafir seksaan yang menghinakan”Surah al Baqarah :90

Perbuatan hasad dengki akan memakan segala kebajikan dan kebaikan yang dibuat. Sifat dengki juga akan membinasakan seseorang dengan hilangnya ketenangan hati di dalam diri.

Masih ingatkah kita pada kisah Habil dan Qabil? Dan bukankah sifat kedengkian itu benar-benar membawa kepada kebinasaan sendiri?

#6- Terlalu Cintakan Dunia

Tujuan hidup manusia di atas muka bumi ini ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Seseorang muslim seharusnya melebihkan hatinya ke arah akhirat dan tidak terlalu menginginkan dunia.

Adakah salah untuk kita mencari pangkat dan harta dunia? Tidak. Ya tidak salah sama sekali! Namun pangkat dan kekayaan dunia tidak harus dijadikan keutamaan di dalam kehidupan.

Ramai orang terlalu sibuk bekerja, sibuk mencari harta dan wang ringgit sehingga melupakan hak-hak nya sebagai hamba Allah. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya,jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat senda gurau dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak melupakan hari akhirat)”Surah al Ankabut:64

Ingatlah bahawa sesungguhnya dunia yang kita diami ini adalah bersifat sementara kerana kelak kita akan meninggalkan dunia dan menuju ke arah akhirat yang kekal abadi. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Padahal kehidupan akhirat itu yang lebih baik dan kekal”Surah al A’la : 17

Untuk menjadi muslim yang berkualiti, kita seharusnya mencuba sedaya upaya kita untuk menghindari sifat-sifat yang akan membawa kita ke arah kemurkaan oleh Allah.

Selagi kita masih hidup, selagi itulah masih belum terlambat untuk kita membuat perubahan ke dalam diri kita untuk sama-sama kita menjadi hamba Allah yang dikasihi.

Oleh itu, Marilah sama-sama kita mulakan perubahan tersebut dengan berusaha menjauhi sifat-sifat mazmumah ini.




No comments:

Powered by Blogger.