Ads Top

PPj Pentaskan Teater Cinta Ahmad Mutawakkil Sempena Acara ‘Festival Budaya Putrajaya 2024’

Perbadanan Putrajaya (PPj) mementaskan Teater Cinta Ahmad Mutawakkil (CAM) bersempena penganjuran Festival Budaya Putrajaya 2024 yang akan berlangsung pada 19 hingga 2 September ini, bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3. 

Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya, Siti Fadilah Ramli berkata, pementasan itu dibuat kerana teater itu sendiri adalah sebahagian dari elemen budaya, terutama dalam masyarakat Malaysia berbilang bangsa.

“Teater CAM ini mempunyai segala elemen seni budaya yang menepati objektif Festival Budaya Putrajaya 2024, seperti elemen muzikal, tarian, drama dan seni audio visual.

“Tambahan pula, menjadi hasrat PPj untuk menjadikan Putrajaya sebagai hub seni budaya terutama teater kerana di sini ada kemudahan dan lokasi yang sesuai bagi semua jenis pementasan teater,” ujarnya.

Diarahkan oleh Amirul Haswendy Ashari yang juga selaku penulis skrip, teater berkenaan membariskan pelakon antaranya Shah Iskandar, Mimi Enirda, Geoff Andfre, Along Eyzendy, Ain Sufia, AG Hafiz, Md Husin dan lain-lain. 

Persembahan teater yang diadakan julung kalinya pada skala besar ini akan dipentaskan pada 20 September 2024, jam 8.30 malam, 21 dan 22 September 2024 pada jam 2.30 petang, bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks PPj.

CAM adalah cerpen karya Zainal Rashid Ahmad yang memenangi Hadiah Sastera Utama bagi Kategori Cerpen Remaja Kumpulan Utusan 2002. 

Cerpen berkenaan terkandung di dalam Antologi Teks Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan 5 berjudul Sejadah Rindu, di mana CAM mengangkat tema perpaduan dan kenegaraan terutama ketika negara menuju kemerdekaan.  

Sementara itu, Amirul berkata, dia berhadapan dengan cabaran tersendiri dalam usaha untuk menjayakan pementasan teater berkenaan.

“Pastinya di segi masa kerana latihan CAM dilakukan dalam tempoh 2 bulan. Seperkara lagi kami perlu pastikan penceritaan CAM adalah menepati fakta-fakta sejarah yang pernah berlaku di negara kita. 

“Walaupun watak di dalam CAM adalah rekaan semata-mata tapi setiap peristiwa yang berlaku adalah fakta dan tidak boleh ditokok tambah,” jelasnya.

Menariknya, CAM turut ditawarkan secara percuma khas kepada pengunjung Festival Budaya Putrajaya 2024 yang ingin menontonnya, tetapi tempat duduk adalah terhad. 

Oleh yang demikian, semua peminat teater digalakkan untuk mendapatkan pas masuk lebih awal dengan mengimbas kod QR yang disediakan di poster yang telah dimuat naik di media sosial rasmi PPj. – KopiPlanet.com

The post PPj Pentaskan Teater Cinta Ahmad Mutawakkil Sempena Acara ‘Festival Budaya Putrajaya 2024’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.