Ads Top

(Video)Tragedi Feri Karam Korea Macam Kapal Titanic, Ada Mangsa Terkorban Sempat Video Yakin Akan Diselamatkan

Kita sering diingatkan untuk mematuhi arahan apabila berlaku kecemasan demi menyelamatkan nyawa. Namun bagaimana pula jika sebaliknya yang berlaku?

Anda berada di dalam feri yang semakin tenggelam. Dengan bunyi helikopter, bot-bot ke sana ke mari di luar kapal, serta arahan kru kapal yang meminta anda untuk kekal bertenang di dalam dek, anda mungkin yakin akan terselamat.

Inilah yang dipercayai oleh kebanyakan penumpang feri Sewol yang terkorban dalam tragedi kapal karam yang membunuh 304 mangsa dari keseluruhan 476 penumpang, dalam kejadian yang berlaku April 2014.

“Helikopter datang!” kata seorang pelajar perempuan sambil melambai dan tersenyum riang ke arah kamera rakannya.

Dalam rakaman telefon pintar para pelajar terlibat, kebanyakan mereka masih kelihatan tenang, relaks bahkan ceria sambil bersandar pada lantai yang condong. Ya, keadaan feri yang sudah senget hampir 90° membuatkan lantai menjadi ‘tegak’.

Namun tak kurang juga terdengar suara tangisan pelajar perempuan yang ketakutan memikirkan sebarang kemungkinan yang kini menjadi satu kepastian – mereka terkorban kerana ‘mematuhi arahan’.

Sedih dan sebak.

Kapten ‘angkat kaki’ terlebih dahulu

Paparan skrin Arirang News, “Sewol-ho captain interview from 2010 emerges”.

Dalam video kenyataan permohonan maaf Kapten Kapal, Lee Joon-seok, dia mendakwa situasi ketika itu memaksanya untuk meminta para penumpang kekal di dalam kapal.

“Pada ketika itu, arus air sangat deras dan suhu sejuk, dan saya fikir jika mereka keluar dalam situasi tersebut tanpa pengurusan yang baik, tanpa memakai jaket keselamatan, dan sekalipun jika memakai jaket keselamatan, mereka akan hanyut dan menghadapi kesukaran lain.

“Bot penyelamat dan bot nelayan belum tiba ketika itu.”

Walau apa pun sebabnya, dia dikecam kerana meninggalkan penumpang bersama kapal yang karam untuk menyelamatkan diri sendiri serta dihukum penjara 36 tahun atas tuduhan membunuh.

“The captain goes down with the ship.”

“Jika kapal tenggelam, kapten sepatutnya menjadi orang terakhir meninggalkan kapal walau bermaksud tenggelam bersamanya,” komen salah seorang netizen pada video tersebut.

Selain itu, tragedi Sewol turut dikaitkan dengan kendalian kapal yang lemah, kargo terlebih muatan disebabkan pengubahsuaian secara haram serta kelemahan pengurusan kerajaan, menyumbang kepada pelucutan jawatan Presiden Korea ketika itu, Park Geun Hye.

Mesej terakhir mangsa kepada keluarga

“Ini mungkin peluang terakhir saya untuk beritahu saya sayang ibu,” mesej Shin Young Jin kepada ibunya.

Young Jin mungkin bernasib baik kerana dia masih dapat bertemu ibunya, namun berbeza nasib dengan mangsa yang lain.

Antara telefon yang dijumpai di dalam kapal Sewol. Kredit: The Korea Herald)

“Ayah, jangan risau. Saya pakai jaket keselamatan dan bersama dengan kawan-kawan lain. Kami di dalam kapal,” mesej seorang pelajar perempuan kepada ayahnya.

“Ayah tahu penyelamat akan datang, tapi bukankah sepatutnya kalian menunggu di luar kapal? Cuba keluar selagi boleh,” kata ayahnya.

“Kapal senget sangat. Laluan sesak dengan orang,” balas pelajar berkenaan buat kali terakhir.

Sementara itu, seorang pelajar menghubungi abangnya.

“Kapal langgar sesuatu dan tak bergerak. Mereka cakap pengawal pantai baru sampai.”

“Jangan panik. Ikut sahaja arahan dan kamu akan selamat,” kata si abang kepada adiknya. Perbualan mereka terhenti di situ.

Berkali-kali, mereka minta penumpang terus berada di dalam kapal

Menurut Arirang News, enam pelajar terselamat ketika memberi testimoni di mahkamah mendakwa terdapat pengumuman berulang kali meminta para penumpang untuk kekal di mana mereka berada.

“Jika mereka menerima arahan untuk menyelamatkan diri, lebih ramai mangsa dapat diselamatkan,” kata saksi.

Kredit: BBC

Mereka yang terselamat telah bertindak ‘melanggar arahan’ dengan keluar dari kapal dan terjun ke dalam air.

“Kira-kira 30 pelajar beratur di pintu keluar. Tapi sebab pasukan penyelamat tidak tiba, seorang demi seorang terjun ke dalam air.

“Tiba-tiba ombak kuat menghentam pintu keluar dan memerangkap kira-kira 10 orang rakan di dalam (di sebalik pintu),” kata salah seorang pelajar yang terselamat.

Satu tragedi, 304 nyawa dan 1000 kisah menyusuri

Di samping pertikaian yang timbul dari tragedi berkenaan, ia turut menjadi titik permulaan kisah lain.

Penyelam bunuh diri

“Saya ingat segalanya,” ujar Kim Gwan Hong semasa menjadi saksi perbicaraan tragedi berkenaan ketika beberapa pegawai kerajaan menyatakan mereka ‘tidak ingat’ tentang peristiwa tersebut.

Kim secara sukarela menyertai misi mencari mangsa yang hilang setelah seminggu feri tersebut tenggelam.

“Mayat mangsa tersangkut sesama sendiri. Saya doakan dan mengangkat mereka,” kongsi Kim.

Pada 17 Jun, Kim ditemui maut di rumahnya tiga hari sebelum hari lahirnya yang ke 43, dipercayai akibat bunuh diri.

Kredit: Hani.co.kr

Beliau meninggalkan pesanan buat rakannya,

“Maafkan saya. Jumpa kamu di tempat yang lebih baik dalam kehidupan seterusnya.”

Sebelum kejadian, Kim dikenali sebagai seorang yang ceria dan mudah tersenyum.

“Kim sangat berbeza lepas kejadian Sewol,” kata salah seorang keluarganya.

“Dia cedera ketika mencari mangsa, namun setelah mengetahui dia hanyalah orang awam yang menyertai carian, kerajaan menafikan usahanya dan dia tidak menerima sebarang pampasan,” kata Hwang Byeong Ju, salah seorang penyelam yang menyertai misi tersebut.

“Kami memegang setiap anak-anak dari Sewol dengan tangan kami. Sehingga sekarang, saya tak boleh sentuh anak dan isteri saya. Saya tak boleh pegang kulit,” kata salah seorang penyelam.

Kim yang menderita trauma sejak pencarian tersebut sangat aktif mendesak penyiasatan terhadap tragedi berkenaan. Sejam sebelum kematiannya, dia berkongsi berita tentang misi menyelamat Sewol di akaun Facebook miliknya.

“Seribu hari atau 900 hari tetap sama bagi saya..”

Januari 2017. Biarpun selepas hampir tiga tahun, masih ada keluarga mangsa yang hilang berkumpul di pelabuhan Paengmok, mengharapkan agar jasad ahli keluarga kesayangan mereka ditemui.

Mangsa yang hilang. (Kredit: BBC)

“Seribu hari atau 900 hari, ia tetap sama bagi saya. Saya ibu yang hidup setiap hari berduka, mengharapkan keselamatan si anak,” kata Lee Geum Hee, ibu kepada Cho Eun Hwa, salah seorang mangsa tragedi.

Eun Hwa merupakan antara 9 mangsa yang tidak ditemui; Nam Hyeon-cheol, Park Young-in and Heo Da-yun, Yang Seung-jin, Go Chang-seok, Lee Young-suk, Kwon Jae-geun serta anak lelakinya berusia 6 tahun, Hyeok-gyu.

Kredit: Korea Herald

Mereka terus memberi tekanan kepada kerajaan untuk menaikkan kapal gergasi seberat lebih 6 tan itu dengan harapan jasad mangsa dapat ditemui semula.

Akhirnya, pada malam Sabtu, 18 Mac 2017, kapal tersebut berjaya dinaikkan dari dasar laut dalam operasi mencecah kos RM333 juta.

Bahagian sisi kapal terpaksa ditebuk untuk membuang air yang terperangkap, membuatkan keluarga mangsa yang hilang terus risau andai sisa jasad yang dipercayai terperangkap di dalam perut kapal turut hilang ketika proses berkenaan.

Tiga jasad ditemui bersama barang mangsa antaranya telefon dan kasut.

Terselamat, namun terpinggir

Tak dapat bayangkan betapa sakitnya bagi Da-eun, 8, menghadapi hari-harinya setelah tragedi Sewol meragut nyawa ibu, ayah dan adiknya ketika mereka ingin memulakan hidup baru di Jeju.

3 tahun selepas tragedi, parut di hati bagai ditoreh kembali oleh rakan sebaya yang tidak mengerti.

Tenggelamnya kapal Sewol, membunuh 304 nyawa bersama ratusan keluarga yang terpaksa menelan air mata dengan kisah masing-masing. Semoga mereka semua diberi kekuatan dan kemudahan menghadapi tragedi ini.

“I’m sorry.”

Bahagian dalam kapal selepas dinaikkan

Sumber: Hani.co.kr, BBC, Daily Mail, Korea Herald, CNN, Emerges, KBS News, Arirang News




No comments:

Powered by Blogger.