Ads Top

Adira Akui Sudah Mahu Bercerai Sejak Awal Tahun Ini

Penyanyi Siti Adira Suhaimi menyatakan dia sudah berhasrat untuk memfailkan penceraian terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red sejak awal tahun ini.

Menurutnya, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan beberapa kali olehnya memandangkan dia telah disahkan hamil.

“Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa baru sekarang, tetapi keputusan untuk bercerai telah dibuat lebih awal.

“Kalau tak silap saya, keputusan untuk bercerai ini dibuat pada awal tahun dan tertangguh memandangkan saya pula hamil,” ujarnya.

Adira berkata demikian ketika ditemui semasa hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat untuk memfailkan proses penceraiannya.

Dalam pada itu, penyanyi itu meluahkan sepanjang proses untuk membuat keputusan, memang ada hasrat untuk dia cuba membaiki hubungan dengan suaminya itu.

Bagaimanapun, dia menyatakan ia tidak berjaya setelah memikirkan kebaikan untuk dirinya sendiri dan anak-anaknya.

“Kalau dulu saya berkahwin dengannya adalah atas pilihan saya, jadi keputusan untuk bercerai ini juga adalah pilihan saya sendiri.

“Kalau ditakdirkan jodoh kami panjang saya terima dengan ikhlas, tetapi kalau tidak panjang, saya terima dengan hati yang terbuka,” ujarnya.

Adira berkahwin dengan Datuk Red yang juga seorang ahli perniagaan di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata.

Perkahwinan Adnan bersama isteri pertamanya iaitu Sharifah Norshafila Hassim atau dikenali sebagai Datin Red mempunyai lima orang cahaya mata.

Sebelum perkahwinan itu, beliau pernah berkahwin dengan seorang wanita ketika berusia 20 tahun dan berpisah lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua cahaya mata yang kini berusia 20 dan 15 tahun. – KopiPlanet.com

The post Adira Akui Sudah Mahu Bercerai Sejak Awal Tahun Ini appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.