Ads Top

Setelah Dua Bulan Bergelar Isteri, Erissa Puteri Muncul Dengan Single Terbaharu Waktu

Tiada perasaan lain melainkan kesyukuran dan kegembiraan buat Erissa Puteri apabila bergelar isteri dalam satu majlis meriah pada 18 April lalu. 

Bintang kelahiran ‘Ceria Popstar’ musim kedua ini, sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Muhamad Daniel Iskandar Zaidi tepat jam 11 pagi di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada hari tersebut. 

Fasa indah pelakon ‘Geng UPSR’, ‘Puasa Oh Puasa’, ‘SMK’ ini semakin berganda apabila syarikat rakaman Nova Music melancarkan muzik video single terbaru Erissa berjudul “Waktu” pada hari bersejarah dalam hidupnya. 

Lagu ciptaan juara AJL39, Ikhwan Fatanna & Wan Saleh serta karya lirik sepenuhnya Ikhwan Fatanna ini amat kena dan bertepatan dengan situasi dilalui Erissa. 

Menariknya, Erissa turut memilih menampilkan Daniel dalam muzik video yang memaparkan momen-momen indah mereka berdua dari awal pertemuan sehinggalah bergelar suami isteri. 

Erissa berkata, lagu yang dipilih sebagai runut bunyi untuk sebuah drama ini sangat kena dengan jiwanya. 

“Saya dapat lagu ini pada tahun lepas menerusi demo yang berjudul Waktu. Kali pertama dengar pun saya dah rasa sangat tertarik. 

“Lagunya best, liriknya sangat kena dengan saya kerana mengisahkan seorang lelaki yang terima pasangannya dengan seadanya. 

“Boleh dikatakan, ia berkait rapat sangat sepertimana hubungan saya dan Daniel. Namun, Waktu kebetulan dihasilkan begini, bukan saya menyuruh Ikhwan agar buat lagu mengisahkan percintaan kami berdua,” katanya.

Erissa berkata, lagu ini adalah runut bunyi berdasarkan cerita yang akan dikeluarkan dan sebaik mendengar sahaja, dia bersetuju merakamkannya. 

“Single pertama saya berjudul Matahari dihasilkan pada 2014 dan masih diingati terutama oleh generasi Z. Ia dihasilkan selepas saya keluar dari Ceria Popstar. 

“Selepas itu, orang tengok saya banyak berlakon. Ini peluang terbaik untuk saya kembali dalam bidang nyanyian,” katanya. 

Ikhwan pula berkata, dia gembira dapat bekerjasama semula dengan Erissa kerana pernah menghasilkan lagu runut bunyi berjudul “Teruskan Mencuba” untuk Erissa sebelum ini untuk cerita kanak-kanak ‘Suatukala’ di Astro. 

“Saya sudah ada pengalaman bekerja dengannya. Dia muda tapi berbakat besar. Erissa ada pakej sebagai seorang penyanyi jadi senang nak bekerjasama dengannya.

“Genre lagu ini pop balada, lagu-lagu yang manis, yang sesuai untuk dijadikan lagu tema perkahwinan dan tema percintaan untuk semua golongan,” katanya.

Menurutnya, konsep lagu ini mengisahkan pasangan suami isteri yang pernah melalui pelbagai fasa dalam hidup mereka. 

“Mungkin ada yang buat salah. Tak kisahlah sama ada suami atau isteri, apabila merenung semula rasanya takkan jumpa lagi pasangan yang terbaik sebaik mana pasangan yang sedia ada. 

“Sebabnya, pasangan itulah yang terima kita seadanya, terima baik buruk, kurang dan lebih kita. Lagu ini ibarat satu penghargaan dan satu bentuk cinta yang kita hadiahkan untuk orang yang kita sayang. Jadi secara umumnya, inilah konsep lagu Waktu.

“Dari sudut penciptaan lagu pun, kita memang masukkan vibe-vibe perkahwinan, vibe-vibe yang penuh rasa keindahan. Waktu sangat ‘easy listening’ bila didengar dan itulah yang akan menarik para pendengar.

“Kita tahu sekarang pelbagai macam trend ada dalam TikTok dan media sosial. Jadi lagu ini boleh digunakan untuk semua video yang ada momen-momen indah. Itu yang kita nak rakamkan dan itu juga yang saya bayangkan waktu cipta lagu ini,” ujarnya. 

Lagu “Waktu” nyanyian Erissa Puteri terbitan Nova Music kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik dan video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=HJp3ip3n3-s

The post Setelah Dua Bulan Bergelar Isteri, Erissa Puteri Muncul Dengan Single Terbaharu Waktu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.