Maher Zain Bakal Kembali Ke Malaysia Selepas Enam Tahun Sempena Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025
Maher Zain, artis antarabangsa kelahiran Sweden-Lubnan bakal kembali ke Asia Tenggara dengan siri konsert yang dinanti-nantikan, enam tahun selepas konsert jelajahnya yang terakhir di Malaysia.
Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 ini telah diumumkan melalui saluran media sosial beliau baru-baru ini dan disahkan dalam sidang media yang turut dihadiri oleh pihak penganjur, Yayasan Tengku Abdullah (YTA).
Dikenali dengan alunan muzik yang menyentuh hati serta mesej penuh harapan, perpaduan dan keimanan, kepulangan Maher ini dijangka akan disambut dengan penuh keterujaan oleh peminat beliau.
Artis rakaman platinum berganda dan aktivis kemanusiaan ini dijadualkan untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 16 Ogos 2025, Singapura pada 21 Ogos 2025 dan Kota Kinabalu pada 23 Ogos 2025.
Jelajah ini merupakan persembahan pertama Maher Zain di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu selepas pandemik COVID-19. Jelajah terakhir beliau di Malaysia pada 2019 telah habis dijual di empat bandar dalam masa beberapa hari, mencerminkan kedudukannya sebagai artis muzik rohaniah yang berpengaruh di rantau ini.
Pada tahun 2024, meskipun Malaysia tidak termasuk dalam jelajah globalnya, para peminat tetap menaruh harapan — dan kini penantian itu berakhir.
“Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya saya—mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia.
“Hanya segelintir artis yang boleh menyatakan bahawa sesebuah negara telah memainkan peranan sebesar ini dalam membentuk permulaan kerjaya nyanyian mereka,” kata Maher Zain melalui Zoom semasa sidang media bersama media tempatan. Maher kini berada di Turki dan bersiaran pada jam 11:00 pagi waktu tempatan di sana.
Dengan lebih 8 juta pengikut di Instagram dan 6.2 juta pendengar bulanan di Spotify, Maher Zain terus menginspirasi dan menaikkan semangat melalui gabungan muzik rohaniah dan kontemporari yang unik.

Para penonton boleh menjangkakan lagu-lagu kegemaran seperti “Insha Allah,” “Baraka Allahu Lakuma,” dan “Thank You Allah,” bersama karya terbaharunya seperti “Qalbi Fil Madinah” dan “Rahmatun Lil’Alameen”.
Lebih daripada sekadar konsert, acara ini bertujuan untuk meraikan perpaduan, inspirasi dan kekuatan muzik yang melangkaui budaya dan komuniti. “Di YTA, kami percaya kepada kepentingan memupuk masyarakat yang menghargai seni, ekspresi positif dan nilai-nilai murni.
Konsert ini bukan sahaja tentang hiburan, tetapi juga untuk menyebarkan mesej kasih sayang, kecekalan dan harapan yang melangkaui pentas,” kata Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif, wakil Barisan Pengurusan Kanan Yayasan Tengku Abdullah.
Kuala Lumpur, Singapura, dan Kota Kinabalu dipilih bagi memastikan penonton dari Semenanjung dan Malaysia Timur tidak terpinggir, manakala Singapura pula dipilih berikutan sambutan luar biasa terhadap persembahan Maher Zain di sana tahun lalu.
Tarikh Konsert dan Maklumat Tiket:
• 16 Ogos 2025 – Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
• 21 Ogos 2025 – The Star Theatre, Singapura
• 23 Ogos 2025 – Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu
Jualan Tiket Pra-Daftar: 12 Jun 2025, 12:00 tengah hari – 11:59 malam
Jualan Tiket Awam: 13 Jun 2025, bermula 12:00 tengah hari
Harga Tiket:
Kuala Lumpur – Bermula dari RM158
Kota Kinabalu – Bermula dari RM158
Singapura – Bermula dari SGD78
“Kami percaya bahawa acara seperti ini mampu memberi impak yang mendalam kepada kita semua, serta mengingatkan kita tentang kuasa muzik yang mampu untuk menyembuhkan dan menyatukan,” tambah Dr. Mohd Afiq.
Jelajah ini direalisasikan dengan sokongan rakan strategik, termasuk Rakan Radio: ERA FM, ERA Sabah, ERA Sarawak, SINAR FM, ZAYAN FM, SYOK; Rakan Media: Seismik, World of Buzz dan Lobak Merah; dan Penganjur Rasmi: Hitman Solutions dan Happymoon, dengan kerjasama Awakening Music.
Dengan konsert yang telah lama dinantikan ini, sokongan padu dijangka daripada peminat tempatan dan antarabangsa yang telah mengikuti perjalanan Maher Zain selama ini. Maher Zain dan YTA berharap untuk melihat dewan konsert dipenuhi keluarga, anak muda dan peminat setia tidak mengira latar belakang. Ramai yang membesar mendengar lagu-lagunya ketika majlis perkahwinan, sambutan Aidilfitri dan saat-saat renungan harian.
“Kepada para peminat yang telah menunggu selama enam tahun — kami kembali untuk anda,” tambah Maher. “Mari jadikan jelajah ini satu kenangan yang tidak akan dilupakan.”
The post Maher Zain Bakal Kembali Ke Malaysia Selepas Enam Tahun Sempena Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: