Mahu Fokus Pada Nyanyian, Shatirah Amanda Sanggup Tolak Tawaran Berlakon
Menjelang usia kematangan 25 tahun, Shatirah Amanda tampil dengan sebuah karya yang cukup peribadi dan menyentuh jiwa. Single terbarunya, Kasih Tersayang, bukan sahaja menyerlahkan keunikan vokalnya, malah menandakan langkah besar dalam kerjaya seni apabila beliau sendiri mencipta melodi dan menulis lirik lagu ini.
Berlatarkan genre pop, Kasih Tersayang merupakan luahan rasa dan tanggapan Amanda terhadap makna kasih sayang yang universal — bukan hanya untuk pasangan kekasih, tetapi juga untuk keluarga, sahabat karib dan haiwan peliharaan. Lagu ini menjadi wadah untuk Shatirah berkongsi perasaan dan pengalaman dengan para peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan seninya sejak awal.
Single ini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, KKBox, Tidal dan Deezer bermula 5 Mei 2025. Lebih menarik, lagu ini merupakan hasil inspirasi dan ciptaan sepenuhnya oleh Shatirah Amanda sendiri.
Menurut Amanda, lagu ini juga bertujuan untuk mencabar stereotaip masyarakat tentang cinta. Baginya, kasih abadi wujud dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada situasi romantik semata-mata. Ia sejajar dengan kematangannya sebagai pencipta karya yang inklusif dan dekat di hati semua lapisan pendengar.
Shatirah Amanda nyata tidak putus asa untuk memperjuangkan kariernya sebagai penyanyi. Beliau kini merupakan artis eksklusif di bawah naungan Syarikat SA International .
“Saya sangat yakin dengan masa depan saya bersama SA International. Saya berazam untuk bekerja lebih keras dan menghasilkan karya bermutu tinggi yang relevan dengan industri muzik semasa,” katanya.
Berkongsi pengalaman menerbitkan lagu ini, Shatirah Amanda memberitahu dia sangat teruja kerana Kasih Tersayang adalah hasil ciptaan beliau yang pertama sebagai pencipta lagu dan agak berdebar untuk melihat reaksi peminat musik tanah air .
Meskipun sering menerima tawaran lakonan — termasuk watak dalam drama popular Bunga Salju dan Bila Takdir Melarang Cinta — Amanda tidak kesal menolak beberapa tawaran demi memberi fokus penuh kepada kerjaya nyanyian.
“Saya tidak menolak berlakon selamanya kerana activiti saya sebelum ini lebih bnyak menonjolkan diri sebagai pelakon. Kalau ada watak yang sesuai dan tidak ganggu jadual nyanyian, saya terbuka. Tapi sekarang fokus utama saya adalah membina nama dan dikenali sebagai penyanyi,” tambahnya.
Heroin Filem Marak dan juga Top 5 Dewi Remaja 2020, Amanda berharap percubaannya membawa konsep dan genre berbeza akan diterima baik.
“Saya berharap lagu-lagu saya kali ini membuka lebih banyak peluang, termasuk untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa satu hari nanti,” katanya. – KopiPlanet.com
The post Mahu Fokus Pada Nyanyian, Shatirah Amanda Sanggup Tolak Tawaran Berlakon appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: