Hael Husaini Bakal Muncul Dengan Konsert Solo Pertama’ Konsert Hael Husaini & Repertoire’
Malaysia, are you ready? Bintang Rocketfuel Entertainment yang dikenali sebagai ikon muzik, juara anugerah dan juga duta fesyen antarabangsa, Hael Husaini, akhirnya mengumumkan berita paling dinanti-nantikan oleh peminatnya iaitu konsert solo pertamanya yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025.
Dikenali dengan vokalnya yang luar biasa, kreativiti melangkaui norma dan gaya penuh kelas, “Konsert Hael Husaini & Repertoire” menjanjikan sebuah malam yang bukan sekadar konsert — tetapi sebuah pengalaman seni, fesyen dan emosi yang pasti menjadi sejarah muzik tanah air.
Dari Bintang Muzik Tempatan Kepada Nama Yang Disebut Di Istana Buckingham
Sejak menjejakkan kaki ke industri seni, Hael Husaini bukan sahaja mengukir nama sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) dua tahun berturut-turut dengan lagu-lagu ikonik seperti “Jampi” dan “Haram” (duet bersama Dayang Nurfaizah), tetapi juga telah mengubah landskap muzik tempatan dengan sentuhan kreatifnya sebagai pencipta lagu untuk artis-artis terkemuka.
Antara karya agungnya adalah “Anta Permana” nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang bukan sahaja menjadi kegemaran rakyat Malaysia, tetapi turut mendapat penghormatan luar biasa apabila dipilih oleh HRH King Charles III untuk playlist rasmi diraja “The King’s Music Room” di Apple Music.
“Apabila saya diberitahu lagu yang saya cipta berada dalam playlist rasmi King Charles, saya terdiam. Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi satu pengiktirafan buat muzik Malaysia,” kata Hael terharu.
Lagu Tema Terbaik AACA 2024 & Wakil Fesyen Negara
Tahun 2024 turut menyaksikan Hael mencipta sejarah apabila lagu “Diam” — OST sebuah drama tempatan diumumkan sebagai “Best Theme Song” di Asian Academy Creative Awards (AACA) yang berlangsung di Singapura.
Di samping itu, persona dan gayanya yang berani serta sofistikated membawanya ke pentas Milan dan Paris Fashion Week 2025, memperagakan jenama mewah seperti Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri, Emporio Armani dan Kenzo — sambil bergaul dengan selebriti antarabangsa di barisan hadapan pertunjukan fesyen eksklusif.
“Saya bukan sekadar ingin dikenali sebagai penyanyi atau komposer, tetapi sebagai penggiat seni yang mewakili Malaysia dengan penuh gaya di mana-mana pentas saya berdiri,” jelas Hael.

Pengumuman Rasmi Di Big Stage Alpha
Selepas memberi bayangan misteri kepada para peminatnya dalam acara mini showcase “Antonim Night” pada 31 Mei lalu di PJPAC, pengumuman rasmi mengenai konsert ini akhirnya dilakukan semasa siaran langsung Big Stage Alpha pada 1 Jun 2025 baharu-baharu ini, di mana Hael juga merupakan juri tetap.
Pengumuman di Big Stage Alpha hanya menonjolkan dua bayangan bakal penyanyi yang akan turut sama menyertai Hael Husaini & Repertoire . Dan malam tadi, menerusi hantaran di laman sosial Hael Husaini sendiri, beliau mengumumkan bahawa Dayang Nurfaizah dan Nadeera ialah jawapan sebenar kepada bayangan yang diumumkan dan mereka juga bakal membuat persembahan khas ketika konsert nanti.
“Saya dan Dayang telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami. Dia bukan sahaja seorang penyanyi yang saya kagumi, tetapi juga seorang sahabat sejati. Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia. Saya sangat teruja untuk berkongsi pentas bersama mereka berdua,” ujar Hael penuh makna.
Menerusi laman sosial Hael Husaini di aplikasi X, Hael turut membuat pertanyaan ‘Siapa cakap 2 je? Pertanyaan tersebut seperti satu petanda yang bukan Dayang Nurfaizah & Nadeera sahaja bakal menyertai Hael Husaini & Repertoire.
Tepat dengan tekaan peminat, Hael mengumumkan dua lagi penyanyi yang bakal menyertai “Konsert Hael Husaini & Repertoire”. Dua nama yang diumumkan adalah Wany Hasrita dan Nabila Razali.
Malam Istimewa Buat Semua – Lebih Dari Sebuah Konsert
“Konsert Hael Husaini & Repertoire” dijangka bukan sahaja akan menyajikan rangkaian lagu-lagu popular Hael dari dulu hingga kini, tetapi juga akan menampilkan susunan muzik baharu, persembahan visual sinematik, segmen artis jemputan, dan tentu sekali, peragaan fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusi estetik Hael sendiri.
“Saya ingin peminat yang hadir bukan hanya mendengar lagu, tetapi untuk merasai perjalanan saya, menyelami emosi saya, dan menyaksikan sisi kreatif saya yang sebenar – dari muzik, visual, hingga ke fesyen. Saya mahu mereka keluar dari Zepp dengan perasaan terinspirasi, puas dan bangga menjadi sebahagian daripada malam itu nanti,” kata Hael penuh semangat.
Sokongan Media & Maklumat Tiket
Konsert ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan radio rasmi: ERA, Sinar dan Gegar, serta rakan digital rasmi: Gempak. – KopiPlanet.com
The post Hael Husaini Bakal Muncul Dengan Konsert Solo Pertama’ Konsert Hael Husaini & Repertoire’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: