Insiden Pasir Gudang : Jangan Mangsakan Orang Lain
Teladani dari kisah nabi Musa A.S dengan Bani Israil. Allah memanggil nabi Musa naik ke Gunung Tur untuk menerima Taurat.
Sepeninggalan baginda, sebahagian besar Bani Isra’il telah kufur kepada Allah kerana menyembah patung anak lembu emas ciptaan Samiri.
Masalah ini berakhir apabila nabi Musa A.S turun menyelesaikan krisis tersebut secara tuntas lagi tegas. Perhatikan Firman Allah ini:
وَٱخۡتَارَ مُوسَىٰ قَوۡمَهُۥ سَبۡعِينَ رَجُلٗا لِّمِيقَٰتِنَاۖ فَلَمَّآ أَخَذَتۡهُمُ ٱلرَّجۡفَةُ قَالَ رَبِّ لَوۡ شِئۡتَ أَهۡلَكۡتَهُم مِّن قَبۡلُ وَإِيَّٰيَۖ أَتُهۡلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَّآۖ إِنۡ هِيَ إِلَّا فِتۡنَتُكَ تُضِلُّ بِهَا مَن تَشَآءُ وَتَهۡدِي مَن تَشَآءُۖ أَنتَ وَلِيُّنَا فَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۖ وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلۡغَٰفِرِينَ
Dan Nabi Musa memilih 70 lelaki daripada kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. “Adakah engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang yang bodoh di antara kami?”(Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaan-Mu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun. Surah al-A’raf 7:155
Dalam ayat ini, Allah menyebut baginda memilih 70 lelaki Bani Israil untuk naik bersamanya ke gunung. Para ulama Tafsir berselisih pendapat tentang “masa mereka naik” antara naik bersama nabi Musa pada kali pertama (kisahnya pada ayat 7:142, atau naik kali kedua sebagai cara menyatakan taubat selepas sebahagian besar daripada mereka murtad menyembah berhala anak lembu.
Apa yang penting mahu disentuh adalah “sikap bodoh sebahagian mereka” setelah berada bersama nabi Musa sehingga menyebabkan semuanya digegar gempa yang dahsyat.
Apa punca murka Allah kepada mereka yang disifatkan nabi Musa sebagai perbuatan bodoh? Ia sikap biadab seperti yang disebut ayat ini:
وَإِذۡ قُلۡتُمۡ يَٰمُوسَىٰ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى ٱللَّهَ جَهۡرَةٗ فَأَخَذَتۡكُمُ ٱلصَّٰعِقَةُ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ
Dan (kenangkanlah) ketika kamu (wahai Bani Israil) berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya Surah al-Baqarah 2:55
Kesimpulannya, kadangkala kebodohan atau sifat tamak segelintir kita menjadi sebab kesusahan orang lain. Ini nampak jelas dalam kes keracunan toksik di Pasir Gudang.
Yang jahat, tamak dan bodoh membuang sisa toksik hanya segelintir, tetapi yang sudah menjadi mangsa sudah mencecah ribuan.
Oleh itu, kita perlu bersama mencegah kemungkaran pada semua tahap terutama sekali pihak berkuasa agar mungkar yang dicetus sebahagian manusia bodoh tidak memangsakan orang lain. Benar sekali Firman Allah ini:
وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya. Surah al-Anfal 8:25
Semoga Allah selamatkan semua mangsa insiden keracunan di Pasir Gudang dengan segera dan menggerakkan semua rakyat menentang kebodohan sesetengah manusia rakus agar insiden sebegini tidak berulang.
No comments: