Menakjubkan! Bayi Usia 24 Minggu Dikeluarkan Dari Rahim Ibu Untuk Dirawat, Kemudian Dimasukkan Semula
Sungguh tak sangka, kecanggihan teknologi perubatan terkini menyaksikan bayi yang berusia 24 minggu didalam kandungan, telah dikeluarkan dari rahim seorang ibu untuk diberikan rawatan dan kemudian telah dimasukkan semula untuk meneruskan kehamilan sehingga cukup tempoh kandungan.
Prosedur menakjubkan ini dilakukan untuk merawat bayi yang dikandung Bethan Simpson selepas ujian menunjukkan janin tersebut mempunyai masalah spina bifida. Bethan, 26 dan suaminya, Kieron dari Burnham, UK pada mulanya diberi pilihan untuk menamatkan kehamilan, sebelum mereka mendapat tahu tentang adanya pembedahan tersebut.
Dijangka Bersalin April
Sehingga kini prosedur itu hanya dijalankan di Belgium. Bethan yang dijangka bakal bersalin pada April merupakan sebahagian kecil daripada kes ibu hamil yang dikendalikan oleh pasukan pakar bedah Belgium dan Inggeris di London.
Ketika pemeriksaan rutin dilakukan semasa usia kandungannya 20 minggu, seorang jururawat menunjukkan kepada Bethan bahawa kepala bayi dalam kandungan tersebut tidak menunjukkan ukuran yang sepatutnya.
Diagnosis Spina Bifida
Bethan telah dihantar ke Hospital Broomfield di Chelmsford, Essex, di mana bayi itu didiagnosis dengan spina bifida, keadaan di mana saraf tunjang bayi tidak sepenuhnya berkembang dalam rahim.Keadaaan ini boleh menjejaskan keupayaan anak Bethan untuk berjalan kelak.
“Bidan kami membuat temujanji di London. Dalam masa 48 jam, kami berada di London untuk membuat imbasan di kepala dan tulang belakangnya”
“Selepas itu kami diberitahu anak perempuan kami mempunyai spina bifida. Kami diberi pilihan untuk meneruskan kehamilan, mengakhiri kehamilan atau diberi pilihan baru yang disebut pembedahan janin, yang dapat memperbaiki keadaannya sebelum dia dilahirkan”
“Kami terpaksa melakukannya walaupun terpaksa berdepan kriteria ketat yang mana saya dan bayi perlu menjalani ujian cairan amniotik, MRI dan imbasan tanpa henti”.
“Akhirnya setelah mendapat kebenaran, kami meneruskan pembedahan. Pada masa itu kehidupan kami kucar kacir selama beberapa minggu”.
Pembedahan pembaikan janin untuk spina bifida akhirnya dilakukan ketika usia kandungan sekitar 24 minggu.
Ibu Keempat Di UK Yang Jalani Pembedahan
Pakar dari Hospital University College Great Ormond Street di London memainkan peranan penting dalam proses ini dan Bethan merupakan ibu keempat di UK yang menerima pembedahan ini.
“Pakar Bedah paling terkenal di seluruh dunia dari Hospital University College London dan Belgium yang menjaga saya”
Pembedahan tersebut melibatkan pemindahan bayi dari rahim Bethan dan membaiki saraf tunjangnya sehingga bayi mempunyai peluang yang lebih besar untuk menjalani kehidupan normal.Bayi itu kemudian diletakkan semula dalam rahim Bethan untuk dia meneruskan kehamilan dan pembedahan itu berjaya.
“Saya dapat rasakan bayi selalu menendang perut saya, itu tak pernah berubah. Dia terlalu istimewa, dia adalah sebahagian daripada sejarah, dan telah menunjukkan betapa dia berhak untuk meneruskan kehidupan”.
Spina Bifida
Spina Bifida adalah keadaan yang mana sebahagian atau keseluruhan tulang belakang tidak bercantum dengan sempurna dan menyebabkan saraf tunjang terdedah. Keadaaan ini terjadi di awal kandungan, kadangkala seawal bulan pertama kandungan.
MW: Sungguh tak tercapai dek akal fikiran, kecanggihan teknologi perubatan kini. Tak sangka bayi yang masih dalam kandungan boleh menerima rawatan sedemikian. Tahniah buat para doktor pakar yang terlibat dalam pembedahan ini, ia membantu merawat tulang belakang bayi untuk pembesaran yang sihat dan sempurna.
The post Menakjubkan! Bayi Usia 24 Minggu Dikeluarkan Dari Rahim Ibu Untuk Dirawat, Kemudian Dimasukkan Semula appeared first on Mingguan Wanita.
No comments: