Ads Top

Gabungan Penyanyi Hebat Dua Negara, Kumbang Bunga Satukan Siti Nurhaliza & Lesti Kejora

Ikon muzik serantau, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, tampil dengan single terbaharu menampilkan penyanyi tersohor Indonesia, Lesti sebagai pasangan duet.

Lagu berjudul Kumbang Bunga ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini menjadi single pertama daripada album terbaharu Siti Nurhaliza, sekali gus melambangkan persahabatan serta keharmonian dua negara serumpun yang disatukan melalui bahasa muzik.

Kumbang Bunga membawa makna signifikan sebagai gabungan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri  dalam garapan kontemporari tradisional.

Lagu ini dihasilkan bagi menyantuni peminat muzik dari pelbagai lapisan usia, melangkaui generasi serta menarik minat golongan muda untuk terus mendekati muzik berteraskan warisan.

Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, beliau tertarik dengan melodi Kumbang Bunga sebaik pertama kali mendengarnya, dan mencadangkan agar elemen dangdut, yang sinonim dengan latar muzik Lesti, turut dimasukkan ke dalam gubahan lagu ini.

Tambah beliau, muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya dan sempadan.

“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional,” ujar Siti.

“Menerusi Kumbang Bunga, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia tetapi turut mendapat tempat di hati peminat kami di negara lain,” jelasnya lagi.

Kenyataan itu turut disambut baik oleh Lesti yang menyifatkan muzik sebagai medium yang mampu menyatukan dan menghargai perbezaan dengan penuh hormat.

“Saya berterima kasih kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya  menjadi kenyataan,” kata Lesti.

Sementara itu, Firdaus Rahmat, selaku komposer dan penulis lagu, menjelaskan bahawa proses penciptaan Kumbang Bunga mengambil masa kira-kira dua hari sahaja untuk disiapkan sepenuhnya.

“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Lesti kerana saya ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar,” ujar Firdaus yang bergabung bersama Iqie Hugh dalam penciptaan karya ini.

Kumbang Bunga diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd,  boleh didapati di semua pelantar digital mulai 22 Oktober 2025. Video muzik rasmi pula ditayangkan pada jam 3.00 petang hari yang sama, memperlihatkan keindahan kolaborasi dua suara besar Nusantara dalam satu karya yang penuh makna. – KopiPlanet.com

The post Gabungan Penyanyi Hebat Dua Negara, Kumbang Bunga Satukan Siti Nurhaliza & Lesti Kejora appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.