Filem ‘Bola Dan Impian’ Inspirasi Kisah Perjalanan Bola Sepak Wanita, Sasar Tayang Pada Mei 2026
Cahaya kreativiti bersinar terang bulan Oktober ini apabila Starlight Institute of Screen and Stage Media secara rasmi dilancarkan melalui majlis pelancaran dan rumah terbuka yang diadakan di Starlight Arena @ Plaza 51.
Pelancaran ini menandakan satu pencapaian penting bagi generasi baharu pembikin filem, penggiat seni, dan pencerita di Malaysia — memperkenalkan pusat pendidikan kreatif yang baharu bagi menghubungkan latihan industri dengan pengalaman produksi sebenar.
Tetamu, bakat baharu, dan rakan media diberi peluang eksklusif untuk melihat kemudahan latihan, laluan kurikulum, dan program bimbingan yang akan datang di bawah Performing for Camera Academy serta Screen & Stage Creative Department.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Andrew Teok, Pengerusi Starlight; Kenny Piong, Pengarah Urusan Starlight; Aaron Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Starlight; dan Joseph Tan, Pengarah Urusan Kumpulan Chek Hup (M) Sdn Bhd.
Sorotan utama acara ialah pengumuman filem cereka tempatan akan datang bertajuk “Bola dan Impian”, yang mengisahkan perjalanan inspirasi pasukan bola sepak perempuan bawah 18 tahun dari sebuah bandar kecil hingga ke kejuaraan kebangsaan.
Menggabungkan elemen drama sukan bertenaga tinggi dan penceritaan yang menyentuh hati, Bola dan Impian meraikan keberanian, semangat berpasukan dan impian anak muda Malaysia yang berani mengejar cita-cita walau berdepan cabaran.
Filem ini memperkenalkan tiga bintang muda bawah 18 tahun — Seri Nur Adriana Elisa (18), Lucinda Lew Xin Yee (16), dan Aarhthi Sivenesan (16) — yang ditemui melalui program pembangunan bakat Project Starlight, disokong oleh barisan pelakon berpengalaman industri.
“Kami bukan sekadar melancarkan sebuah akademi, kami membina jambatan antara pendidikan dan produksi filem profesional.
“Inilah tempat di mana bakat muda dilatih, beraksi dan akhirnya bersinar di layar perak,” kata Aaron Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Starlight Institute dan penerbit Bola dan Impian.
Seramai 30 peserta telah disenarai pendek daripada lebih 100 penyertaan dalam Project Starlight Audition 2025 yang berlangsung pada bulan September lalu. Daripada senarai akhir itu, hanya 3 peserta dipilih untuk memegang watak utama dalam Bola dan Impian.

“Bola dan Impian merupakan kerjasama antara Starlight Institute dan rakan penganjur lama kami, Chek Hup Ipoh White Coffee, bagi memperkenalkan bintang baharu Malaysia ke persada sinema Asia Tenggara sempena FIFA 2026,” ujar Aaron dengan bangga.
Chek Hup ditubuhkan di Ipoh, Malaysia pada pertengahan tahun 1900-an oleh seorang peminat kopi sejati yang menggabungkan perisa dan budaya tempatan dengan biji kopi premium panggang segar.
Sebagai simbolik kerjasama, satu upacara menandatangani jersi telah diadakan antara Aaron Lim dan Joseph Tan bagi meraikan kolaborasi antara Bola dan Impian dan Chek Hup.
Majlis turut menyaksikan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Starlight Institute dengan rakan pendidikan dan industri strategik berikut:
- Falcon TVET University US diwakili oleh CEO APAC, Calvin Chong
- Aotu Theatre diwakili oleh Pengarah, Noel Neoh
- Antplus Entertainment diwakili oleh Pengarah, Ash Lu
- Synergy Media Entertainment diwakili oleh Yvonne Lee
- JM Music diwakili oleh Michael Kek
Filem Bola dan Impian diterbitkan oleh pembikin filem pemenang pelbagai anugerah, Aaron Lim, dan ditulis serta diarahkan oleh pengarah komersial dan drama berpengalaman, Rayson Ng.
Dengan lebih 17 tahun pengalaman dalam industri filem dan media, Rayson telah mengarah dan menerbitkan lebih 1,500 projek termasuk iklan, dokumentari dan drama. Beliau pernah bekerjasama dengan jenama terkemuka seperti Hong Leong Bank, Medico dan Asian Football Confederation (AFC).
Rayson yang amat meminati penceritaan, inovasi visual dan pembangunan bakat muda dalam industri filem serta sukan ialah pengasas kepada Seed Entertainment dan Brain Your Brand Sdn Bhd.
Antara karyanya termasuk Kempen Pembayaran Digital KPDN ReDI, dokumentari siri AFC “Beyond the Field”, dan video korporat ALOF Foundation. Bola dan Impian akan menjadi filem cereka penuh pertama arahannya.
Sementara itu, Aaron Lim ialah penerbit dan penulis filem Malaysia yang terkenal dengan karyanya C144: Human x Nature (2022) — sebuah filem thriller misteri yang diinspirasikan oleh penemuan tapak nahas pesawat Perang Dunia Kedua. Filem ini menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk:
- Penulis Terbaik (Alternative Film Festival, Kanada)
- Filem Cereka Terbaik (Eastern Europe Film Festival)
- Filem Terbaik dalam Kategori Alam & Hidupan Liar (World Film Carnival Singapore)
Di luar dunia perfileman, Aaron aktif membimbing bakat muda dan melancarkan pelbagai inisiatif untuk menyokong generasi baharu pembikin filem dan pelakon. Beliau juga pencipta Starlight Institute of Screen and Stage Media.
Penggambaran Bola dan Impian dijadualkan berlangsung dari November hingga Disember 2025 dan dijangka ditayangkan di pawagam pada Mei 2026. Lokasi penggambaran akan dijalankan di Johor. – KopiPlanet.com
The post Filem ‘Bola Dan Impian’ Inspirasi Kisah Perjalanan Bola Sepak Wanita, Sasar Tayang Pada Mei 2026 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: