Ads Top

Wings Bakal Anjurkan Siri Mini Konsert Di Penjara Seluruh Malaysia

Pada 27 Mac 2025, bertempat di Baba Nyonya House, Hub SS2, Petaling Jaya, satu Majlis Iftar dan Sidang Media telah dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah yang diketuai oleh Dato’ Awie dan Dato’ Eddy Amir Salim. 

Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program-program Rumah Produksi Merah, termasuk pihak media yang banyak membantu dalam penulisan serta promosi.

Dalam sidang media termasuk beberapa perancangan utama Rumah Produksi Merah bagi tahun 2025 telah diumumkan, termasuk:

Konsert di Penjara

Rumah Produksi Merah merancang untuk mengadakan siri mini konsert di penjara seluruh Malaysia, dengan permulaan di Penjara Kajang. Terdapat lebih daripada 40 buah penjara di Malaysia, dan pelaksanaan program ini memerlukan dana serta sokongan daripada pelbagai pihak.

“Kami percaya muzik mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan harapan, walaupun dalam persekitaran yang paling mencabar. Kami mengajak penaja dan pihak berkepentingan untuk turut serta dalam usaha ini,” kata Dato’ Awie.

Wings Fest 40 Tahun

Sempena ulang tahun ke-40 kumpulan Wings dalam industri muzik tanah air, satu acara besar, Wings Fest, akan diadakan pada bulan Oktober atau November 2025. 

Selain itu, Dato’ Awie turut berkongsi perancangan untuk membawa Wings ke London bagi membuat persembahan, yang kini masih dalam perbincangan untuk kelulusan bersama pihak berkaitan.

“Empat dekad dalam industri adalah satu pencapaian yang luar biasa. Wings Fest bukan sekadar meraikan kejayaan kami, tetapi juga penghargaan kepada peminat setia yang sentiasa menyokong,” ujar Dato’ Awie.

Konsert Tribute Khas

Tribute & Album Khas Rumah Produksi Merah turut merancang untuk mengadakan Konsert Tribute di mana Dato’ Awie akan menyanyikan lagu-lagu klasik dari era 60-an, 70-an, dan 90-an. Sebuah album khas akan dirakam, dan sebahagian royalti daripada album tersebut akan dikongsi bersama artis asal serta waris mereka.

Drama Bersiri untuk RTM

Rumah Produksi Merah telah menjalankan penggambaran drama bersiri 20 episod untuk RTM yang dibintangi oleh Hazama, Roi Azman, dan beberapa pelakon lain. Tajuk drama tersebut masih dirahsiakan dan akan diumumkan kelak.

Dokumentari 40 Tahun Perjalanan Wings

Dato’ Eddy Amir Salim turut mengumumkan perancangan untuk menerbitkan sebuah dokumentari filem yang merakamkan perjalanan Wings sepanjang 40 tahun dalam industri muzik tanah air, termasuk cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh kumpulan legenda ini.

“Setelah mendengar kisah dari dato awie berkenaan jatuh bangun sebuah kumpulan legenda yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama empat dekad. Kami ingin berkongsi perjalanan ini dengan peminat serta generasi akan datang,” ujar Dato’ Eddy.

Isu Cetak Rompak Moden

Dalam sidang media ini, Dato’ Eddy juga menegaskan tentang isu cetak rompak moden yang semakin berleluasa. Beliau mendedahkan bahawa terdapat individu yang membeli tiket konsert dan melakukan siaran langsung berbayar di YouTube, sekaligus melanggar hak cipta serta menjejaskan penganjur.

“Ini adalah satu bentuk pencabulan hak cipta yang serius dan perlu ditangani segera. Kami sedang mempertimbangkan tindakan perundangan untuk melindungi hak serta kepentingan industri muzik tempatan,” tegas Dato’ Eddy.

Dengan pelbagai perancangan besar yang diumumkan, Rumah Produksi Merah berharap mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak bagi memastikan kejayaan setiap inisiatif yang dirancang. – KopiPlanet.com

The post Wings Bakal Anjurkan Siri Mini Konsert Di Penjara Seluruh Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.