Ads Top

Nabila Razali Ceriakan Sambutan Aidilfiitri, Rakam Semula Lagu Raya Mana Versi Kelantan

Penyanyi popular Nabila Razali kembali menceriakan suasana Aidilfitri dengan mempersembahkan lagu raya terbaharunya, ‘Raya Mana’, dalam versi Kelantan bersama penyanyi Den Manjo. 

Versi istimewa ini dihasilkan bagi memenuhi permintaan peminat yang ingin mendengar lagu itu dalam loghat negeri Pantai Timur itu.

Menurut Nabila, dia berasa sedikit gementar untuk menyanyikan versi ini kerana tidak begitu fasih dalam loghat Kelantan walaupun sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan suami yang berasal dari Kelantan.

“Bagi siapa yang menanti lagu ini dalam versi Kelantan bersama dengan Den Manjo, permintaan anda sudah saya tunaikan. Sejujurnya saya agak gementar untuk menyanyikan lagu ini kerana loghat Kelantan bukanlah bahasa pertama saya.

“Sampaikan sudah menimang cahaya mata pun saya masih lagi belum fasih untuk berbahasa Kelantan. Tapi tak mengapa, mula-mula menyanyi dahulu, lepas itu mana tahu boleh fasih,” katanya.

Nabila yang juga penyanyi lagu Peluang Kedua berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi rakaman Gempak Jam Session Raya yang berlangsung di Sora Studio baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi memastikan sebutannya tepat, Nabila turut mendapatkan bimbingan daripada Den Manjo mengenai cara percakapan masyarakat Kelantan agar nyanyiannya tidak kedengaran canggung.

“Saya tanya sama ada sebutan saya ini betul atau tidak sebab takut salah. Den pun banyak berkongsi cara pertuturan orang Kelantan.

“Insya-Allah, saya harap orang Kelantan tidak marah kalau saya tersalah sebut,” katanya lagi.

Tahun lalu, lagu ‘Raya Mana’ berjaya menjadi antara lagu raya yang ‘trending’ dan tular di media sosial.

Malah, Nabila turut mendapat perhatian ramai apabila mempersembahkan lagu ‘Raya Mana’ dalam bahasa isyarat, menjadikannya lebih inklusif kepada semua lapisan masyarakat

Dengan pelancaran ‘Raya Mana’ versi Kelantan ini, diharapkan ia dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. – KopiPlanet.com

The post Nabila Razali Ceriakan Sambutan Aidilfiitri, Rakam Semula Lagu Raya Mana Versi Kelantan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.