Ads Top

Ernie Zakri Muncul Dengan Single Baharu Nostalgia, Angkat Tema Kebahagiaan Dalam Cinta

Penyanyi terkenal, Ernie Zakri, mempersembahkan single terbaharunya, Nostalgia sebuah lagu cinta yang tenang dan menggembirakan. Lagu ini mengangkat tema kebahagiaan dalam cinta, sambil membawa mesej universal mengenai kegembiraan bersama hingga ke penghujungnya, sama ada cinta antara pasangan, keluarga, atau rakan. 

Menerusi single ciptaan sepenuhnya oleh Allan Andersn ini, Ernie mengungkapkan mesej kebahagiaan yang berkekalan, menggambarkan rasa syukur terhadap kebersamaan. 

“Lagu ini adalah mengenai kisah cinta yang bahagia, dan kita juga boleh dedikasikan lagu ini kepada mereka yang kita sayangi seperti ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan, dan peminat saya,” katanya.

Berkongsi lanjut, Ernie berkata, proses rakaman lagu Nostalgia adalah pengalaman yang menyeronokkan buat dirinya, di mana beliau bekerjasama dengan penerbit muzik terkenal itu. 

Menurut Ernie, proses rakaman lagu Nostalgia yang bergenre Pop, Citypop itu berjalan lancar meskipun jadualnya padat. “Alan sangat kreatif, dan kami bekerja bersama-sama menghasilkan pelbagai alunan vokal dan harmoni. Prosesnya mudah dan normal, walaupun agak sibuk, kami tetap selesaikan dengan cepat,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Masing Masing ini, apa yang membezakan lagu Nostalgia adalah bunyinya yang unik dengan sedikit sentuhan konsep retro. Lagu ini menampilkan gaya yang mengingatkan kepada penyanyi Datuk Sheila Majid, dengan elemen moden dan sentuhan vintage.

Kelainan ini menjadikan lagu tersebut lebih istimewa dan pastinya disukai oleh peminat Ernie juga pencinta muzik tanah air.

“Lagu ini ada sentuhan retro, sedikit vintage. Ia berbeza daripada karya saya sebelum ini, dan itulah sebabnya ia sangat istimewa buat saya dan para peminat,” tambahnya. 

Single ini turut mencerminkan arah baru dalam projek-projek akan datang Ernie, sekali gus memberikan lapisan segar kepada album Aura miliknya. 

Walaupun Ernie mempunyai banyak projek menarik yang akan datang, beliau kini memberi tumpuan kepada promosi single terbaharunya, Nostalgia. Peminat boleh menjangkakan lebih banyak projek dan kolaborasi yang mengujakan daripada penyanyi berbakat ini yang terus bereksperimen dengan bunyinya.

Lagu Nostalgia adalah lagu bergenre Pop, Citypop yang ditulis oleh Allan Andersn, dihasilkan untuk mempamerkan keupayaan vokal Ernie yang luar biasa. Lagu ini membangkitkan emosi mengimbau kembali kenangan terindah, menggabungkan lirik yang menyentuh hati dengan alur yang memikat.

Ciri yang menonjol adalah lima perubahan utamanya, yang meningkatkan sentuhan emosi lagu dan menyerlahkan julat vokal Ernie. Liriknya, seperti “Oh bulan, bisikan cintaku, takkan ku lepaskan dirimu,” mengungkapkan tema rindu dan bakti.

Dengan susunan berinspirasikan retro dan persembahan hebat Ernie, lagu Nostalgia ini menggabungkan sentimen abadi dengan kecanggihan moden.

Nostalgia boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 21st Februari 2025, muzik video juga akanditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ernie Zakri pada 26 Februari 2025. – KopiPlanet.com

The post Ernie Zakri Muncul Dengan Single Baharu Nostalgia, Angkat Tema Kebahagiaan Dalam Cinta appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.