Ads Top

Penipuan Umrah Meningkat Drastik, MOTAC Cadang Kaedah Penarafan Agensi

Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) mendedahkan kes penipuan umrah di seluruh negara meningkat dengan ketara apabila jumlah kerugian mencapai RM9 juta. 

Menurut Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Motac, Roslan Mohammad, jumlah penipuan yang direkodkan meningkat tiga kali ganda dari tahun sebelumnya, dengan 62 kes dilaporkan kepada polis membabitkan kerugian sebanyak RM2.1 juta. 

Itu tidak termasuk, apabila Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) pula merekodkan kes kerugian sebanyak RM7.079 juta daripada 355 kes yang dilaporkan.

Untuk menangani isu ini, MOTAC mengusulkan kaedah penarafan terhadap agensi pengendali perkhidmatan umrah negara. Cadangan tersebut disampaikan dalam Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU), bertujuan meminimumkan risiko penipuan kepada orang awam.

“Gred syarikat-syarikat umrah perlu dipertimbangkan untuk meningkatkan kualiti setiap agensi pengendali. Ini akan memudahkan orang awam membuat penilaian terhadap agensi tersebut,” jelas Roslan.

Selain penarafan, MOTAC mengenal pasti 531 agensi pengurusan umrah di peringkat ibu pejabat dan 394 cawangan, di mana sebahagian besar merupakan ahli Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh). Dari jumlah itu, sejumlah 245 agensi dalam pemantauan pihak MOTAC dan ada yang disenaraihitamkan atas aduan jemaah.

Roslan turut menekankan bahawa penipuan dalam industri umrah sukar dihapuskan kerana terdapat syarikat yang tidak didaftarkan di bahagian pelesenan. Namun, MOTAC yakin bahawa usaha ini dapat meminimumkan penipuan dalam masyarakat.

Selain cadangan penarafan, MOTAC juga menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Umrah bagi jemaah Islam dari kawasan rantau Asia Tenggara. Inisiatif ini dianggap dapat merancakkan industri pelancongan negara secara keseluruhannya dengan menawarkan pakej ‘Muslim Friendly’ kepada jemaah, menjadikan Malaysia destinasi pelancongan Muslim global.

“Saya menyambut baik Hari Umrah Malaysia (HUM) yang diadakan ini. Ia adalah langkah positif bagi meningkatkan kesedaran terhadap penipuan pakej haji dan umrah,” ulasnya.

MOTAC yakin usaha ini juga akan mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi, memfokuskan Malaysia sebagai hab transit pilihan bagi jemaah umrah yang menggunakan KLIA sebagai pintu masuk ke Tanah Suci.

Terdahulu, Roslan mewakili Timbalan Menteri, Khairul Firdaus Akbar Khan menyempurnakan majlis penutup Hari Umrah Malaysia yang julung kali diadakan di kompleks beli belah Malakat Mall, Cyberjaya semalam.

Acara itu dianjurkan Fakulti Pengajian Antarabangsa, YEG Academy dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Inovatif, Suara Belia, Brainy Bunch dan gedung komersial tersebut.Sebanyak 20 agensi umrah tempatan menyertai program tiga hari itu yang diisi dengan pelbagai aktiviti menarik bermula Jumaat lepas dan dihadiri hampir 10,000 pengunjung. Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan Hari Umrah Malaysia akan diadakan sebagai acara tahunan

The post Penipuan Umrah Meningkat Drastik, MOTAC Cadang Kaedah Penarafan Agensi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.