Ads Top

Kemelut Masih Belum Berakhir… Hang Tuah , Beri Penjelasan Di YouTube Berhubung Fail Rayuan Keputusan Surat Wakil Kuasa Jins Shamsuddin

Kemelut yang melanda keluarga Allahyarham pelakon Tan Sri Jins Shamsuddin ternyata masih belum berakhir memandangkan anak kedua arwah, Hang Tuah bertegas masih mahu mempertahankan haknya menerusi tuntutan yang pernah dikemukakan sebelum ini.

Menerusi satu video yang dimuatnaik di YouTube, Hang Tuah @ Shazrin Mohamed Jin, menyatakan dia bersama abangnya, memfailkan rayuan terhadap keputusan kes berhubung surat wakil kuasa pada Januari lalu untuk memperjuangkan keadilan buat mereka.

“Kami membawa kes ini ke mahkamah bukanlah disebabkan soal harta atau kepentingan individu, tetapi bertujuan memperjuangkan keadilan Allahyarham Jins dan semua waris keluarga beliau.

“Kami berjuang di mahkamah untuk membatalkan surat wakil kuasa bagi penjualan tanah tersebut dan mengembalikan tanah yang disyaki telah dijual tanpa kerelaan arwah serta mahu membahagikan kesemua harta arwah kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid,” katanya.

Pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan surat wakil kuasa itu sah, seterusnya menolak tuntutan oleh Hang Tuah dan Jefri.

Sementara itu, Hang Tuah memaklumkan tentang punca mereka memfailkan saman terhadap Jebat kerana adiknya itu didakwa cuba menyembunyikan fakta-fakta tentang penjualan tanah dan kereta milik arwah bapa mereka.

“Jebat menyatakan tanah tersebut tidak pernah dijual, cuma disewakan dan nombor plat kereta juga tidak dijual, cuma ditukarkan kepada kenderaan lain. Yang sebenarnya dia (Jebat) dah jual pun, maknanya dia cuba menyorokkan fakta-fakta ini dengan kami.

“Ia menunjukkan yang Jebat ternyata tidak memberitahu kami perkara sebenar dan disebabkan itu kami mengambil keputusan untuk menyaman,” ujarnya.

Sebagai rekod, Hang Tuah, Jefri dan Hang Jebat merupakan adik-beradik berlainan ibu. Jefri adalah anak hasil perkahwinan pertama Jins dengan seniwati Rahmah Rahmat.

Arwah kemudiannya bercerai dengan Rahmah dan berkahwin pula dengan Jamilah Shukor dan dikurniakan Hang Tuah. Selepas itu, arwah berkahwin kali ketiga dengan Puan Sri Halijah Abdullah dan dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nedim. – KopiPlanet.com

The post Kemelut Masih Belum Berakhir… Hang Tuah , Beri Penjelasan Di YouTube Berhubung Fail Rayuan Keputusan Surat Wakil Kuasa Jins Shamsuddin appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.