Ads Top

Shuib Akui Ada Masalah Caruman KWSP Pekerja Bubble Bee, Akan Bayar Tunggakan Secara Berperingkat

Pelawak usahawan Shuib mengakui terdapat masalah mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan pekerja Bubble Bee.

Shuib berkata, permasalahan berkenaan berpunca daripada pengurusan lama dan pihaknya akan melunaskan bayaran secara berperingkat kepada KWSP.

“Tahun 2023 bukanlah tahun yang baik untuk industri makanan dan minuman. Saya akui jualan merudum hingga tidak dapat mencarum KWSP bagi pekerja.

“Cuma, apabila surat layang dikeluarkan, ia kelihatan seolah-olah kami langsung tidak ambil tahu soal caruman KWSP pekerja.

“Saya ingin beritahu yang sejak awal tahun ini, kami sudah berhubung dengan KWSP dan memaklumkan kepada pegawai badan itu mengenai situasi yang berlaku.

“Kami tahu ada tunggakan yang banyak dan kami tidak boleh bayar sekaligus,” katanya 

Shuib berkata demikian menerusi kenyataan dalam sebuah video yang dimuatnaik di laman sosial miliknya malam tadi.

Shuib memberitahu, dia dan rakan kongsi kemudiannya mengambil alih pengurusan syarikat sejak November tahun lalu dan sedang berusaha menyelesaikan masalah yang ditimbulkan pihak pengurusan terdahulu.

Jelasnya lagi, menerusi hasil rundingan bersama KWSP, syarikat dibenar melunaskan bayaran tunggakan caruman secara ansuran.

“Kami akan bayar kerana itu kewajipan sebagai majikan. Alhamdulillah, kami ada buat pembayaran, banyak juga yang sudah dijelaskan. Cuma, kami masih menunggu keputusan mengenai berapa kali bayaran ansuran yang dibenarkan,” katanya.

Pada masa sama, Shuib turut memohon maaf kepada kakitangan termasuk mereka yang sudah berhenti bekerja dan berjanji menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Saya ingin beri pujian kepada pekerja yang masih setia dan faham atas apa yang berlaku kepada syarikat sekarang,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Shuib Akui Ada Masalah Caruman KWSP Pekerja Bubble Bee, Akan Bayar Tunggakan Secara Berperingkat appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.