Ads Top

Selepas Muncul Dengan Album Baharu Rossa Bakal Tampil Dalam Konsert Another Journey: The Beginning

Sudah lebih 25 tahun meniti perjalanan kariernya sebagai insan seni, ternyata tidak pernah sesekali melelahkan penghibur kebanggaan Indonesia dan Malaysia, Datuk Seri Rossa.

Semangatnya sentiasa utuh untuk terus berkongsi kecintaanya terhadap muzik dengan penggemar yang setia bersamanya sejak mula menapak pada 1999.

Misalnya, pada Februari lalu ketika industri muzik kembali bangkit selepas segala aktiviti seni terhenti seketika gara-gara pandemik Covid-19, Rossa atau nama lengkapnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani menghadiahkan buah tangan terbaharu, sebuah album yang diberi judul Another Journey: The Beginning.

Lahir selepas enam tahun tidak menghasilkan album baharu, Rossa berkata, produksi Another Journey: The Beginning begitu dekat di hatinya kerana ia berkisar mengenai perjalanan yang dilaluinya sepanjang pandemik Covid-19.

“Selama pandemik, banyak hal terjadi yang sekali gus mengubah perjalanan hidup manusia di seluruh dunia. Kita terpaksa berjauhan dengan insan yang kita sayangi dan berusaha bertahan.

“Cerita hidup kita terus berjalan seiring dunia yang berubah. Perkara itu saya cuba kongsikan dalam album baharu ini. Kehadiran dan kepergian membenihkan pelbagai cerita dalam kehidupan saya.

“Album ini menterjemahkan perjalanan emosi dan naik turun kehidupan saya sebagai manusia sepanjang tempoh yang menguji itu menerusi 10 lagu yang dimuatkan dalam album ini,” ungkap pelantun lagu Tegar tersebut.

Menerusi Another Journey: The Beginning, wanita kelahiran Sumedang, Jawa Barat itu bergandingan dengan nama besar dalam industri muzik Indonesia seperti Yovie Widianto, Enda Ungu, Melly Goeslaw dan Rian D’Masiv.

Lebih istimewa, buat kali pertama sepanjang 25 tahun berkarya, Rossa mengundang bakat muda berpotensi besar dalam industri muzik Indonesia untuk bekerjasama dalam pembikinan album tersebut.

Mereka terdiri daripada Andmesh, Mahalini dan Barsena Bestandhi. Akui Rossa, dia sangat mengagumi kreativiti dan idea bakat baharu yang sedang mencipta fenomena tersendiri itu.

“Pembikinan album ini memberikan saya pengalaman baharu, membuatkan saya bersyukur kerana terus mendapat dukungan ramai teman pemuzik.

“Baik pemuzik senior mahupun pengkarya baharu, kreativiti karya mereka sangat luar biasa. Saya bertuah, malah sangat bersyukur kerana masih diberikan Allah SWT kesempatan untuk melahirkan album baharu yang bagi saya, terlalu istimewa,” katanya.

Lebih bermakna kata Rossa, kehadiran album baharu itu juga membawanya kembali ke Kuala Lumpur untuk bersama Pecinta Rossa menerusi konsert Another Journey: The Beginning yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Julai depan.

Rossa yang berada di ibu negara sempena majlis pelancaran album dan rangka promosi konsert Another Journey: The Beginning di Centre Court, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya juga terharu apabila tiket konsert yang pada mulanya dijadualkan hanya pada 14 Julai habis terjual dalam masa 24 jam. 

Lantas, untuk tidak menghampakan permintaan peminat, diva tersohor Indonesia itu bersedia menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai. 

Konsert Rossa – Another Journey: The Beginning adalah siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration, selepas meraih sukses luar biasa menerusi konsert pertama menampilkan Nidji dan Budi Doremi, disusuli Wali Band bersama Floor 88 pada Dream Festival Collaboration Vol. 2.

Tidak bersendirian, konsert itu nanti menyaksikan Rossa bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian dan Betrand Putra Onsu pada 13 Julai, manakala Mahalini Raharja serta bakat baharu dari Malaysia, Zareef Sein pada 14 Julai.

“Mahalini antara komposer muda yang turut memberikan sentuhan emasnya pada lagu Lupakan Cinta dalam album Another Journey: The Beginning.  Saya sangat terharu apabila Mahalini bersetuju menjadi sebahagian daripada sejarah konsert itu nanti.

“Kemunculan Mahalini, Rizky, Betrand dan Zareef membuktikan industri muzik tidak pernah ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia. Pastinya sesuatu yang istimewa bakal kami sajikan buat semua yang hadir nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri atau Anda menaruh harapan Dream Festival Collaboration Vol. 3 bersama Rossa dapat menghiburkan seluruh pecinta muzik, sekali gus membekas memori buat penonton yang hadir.

“Kami bersyukur kerana impian untuk mendekatkan peminat muzik dua negara serumpun terlaksana menerusi siri konsert Dream Festival Collaboration.

“Menerusi edisi terbaharu ini, kami memberi ruang kepada peminat Rossa untuk berkongsi emosi dan bersama-sama berhibur menerusi pilihan lagu yang pastinya meninggalkan pelbagai memori,” katanya.

Dream Festival Collaboration Vol. 3 dibawakan Inspire.IDN dan didukung oleh HotBox, Chatime, VGI, The Curve, Sunway Putra Hotel serta Zepp Kuala Lumpur, selain Suria FM sebagai rakan radio rasmi dan Astro Gempak selaku media digital rasmi. – KopiPlanet.com 

The post Selepas Muncul Dengan Album Baharu, Rossa Bakal Tampil Dalam Konsert Another Journey: The Beginning appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.