Ads Top

Didakwa Jadi Bahan Gosip Lariskan Filem Annie Arifin Mahu Penerbit Minta Maaf Sudah Buat Laporan Polis

Pelakon Annie Arifin, 40, terkilan dengan tindakan produser yang didakwa menjual gosip sensasi demi melariskan filem.

Annie mendakwa, produser filem Vik2ria Secret, Richard Ung pernah memberi cadangan menyebarkan gosip skandal atau kahwin dengan pelakon dan pengarah, AR Badul, tetapi tidak dipersetujuinya.

“Dua tiga bulan lalu, Richard beri cadangan gosip ini, tetapi saya tak setuju. Kesannya bukan sedikit untuk saya dan keluarga tanggung malu.

“Sejak awal, saya tolak dan marah-marah. Sampaikan saya pernah ugut nak saman jika cerita peribadi dan gosip bukan-bukan keluar.

“Bagaimanapun, saya terkejut bila gosip nikahi AR Badul tersebar sehari selepas malam gala filem, minggu lalu.

“Tentulah saya amat kecewa. Lebih membuatkan emosi tertekan bila tidak henti terima panggilan ahli keluarga, rakan dan orang kampung bertanyakan isu kahwin dengan pengarah lagenda ini,” katanya.

Annie mendakwa, lebih membuatkannya rasa terkilan Richard sudah berjanji isu peribadi tidak akan jadi bahan disensasikan.

“Bila gosip ini timbul, tentulah orang pertama yang saya terdetik adalah Richard. Sebabnya, ini adalah ideanya sejak awal lagi.

“Sebenarnya AR Badul pun tidak bersetuju ketika perbincangan dilakukan. Richard sendiri beri jaminan akan halang atau tukar topik jika isu peribadi ditanya.

“Namun, saya lihat video yang keluar di media sosial, Richard tidak pula cuba menghalang ketika gosip ini diajukan.

“Mana janjinya? Saya masih menyimpan tangkap layar perbualan dengan Richard yang memberi jaminan akan menghalang jika isu skandal dan nikah kahwin ditanya, tetapi kenapa tak buat?,” katanya.

Ujarnya, bukan sekali dua pesanan diberikan kepada Richard tetapi banyak kali.

“Apabila filem nak keluar, saya lebih kerap ingatkan Richard, jangan sesekali keluarkan kisah peribadi, apatah lagi, gosip skandal atau berkahwin dengan AR Badul yang pernah berkali-kali dirancang sebelum ini.

“Sebelum ini, saya pernah bertikam lidah dengan Richard ketika dia memberi cadangan nak buat gosip sensasi kononnya nak naikkan nama saya.

“Saya tak izin dan tak suka cerita mengaibkan. Kalau saya nak buat gosip sensasi sejak dulu lagi bukan pada usia 40 tahun dan ada anak.

“Sudah 10 tahun bergelar pelakon dan tak pernah terpalit isu skandal atau gosip tak masuk akal.

“Saya jadi pelakon bukan nak kejar nama atau glamor, hanya nak cari rezeki buat keluarga,” tambahnya.

Ujar Annie, dia tidak dapat hadir pada malam gala disebabkan bapanya sakit di kampung.

“Sepatutnya saya hadir malam gala, takkan saya tak beri sokongan filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama.

“Tapi, beberapa hari sebelum malam gala, saya terima panggilan bapa sakit di kampung.

“Saya bergegas pulang ke kampung di Kedah, jadi tiada isu saya nak boikot filem ini.

“Richard tahu bapa saya sakit, malah beri keizinan saya tidak hadir malam gala.

“Sedihnya, bapa tengah sakit ketika gosip kahwin ini tersebar, kecoh satu kampung. Mana saya dan keluarga nak letak muka?,” katanya lagi.

Annie mendakwa, tindakan produser itu satu penganiayaan terhadap dirinya.

“Saya anggap ia disengajakan. Kenapa saya cakap disengajakan kerana Richard mahupun AR Badul tahu saya tak izin dan tak suka.

“Kenapa tak halang, sedangkan berjanji akan halang dan tepis persoalan gosip atau cerita peribadi?

“Richard bukan hanya berjanji di hadapan AR Badul, malah rakan-rakan saya juga ada mendengarnya sebagai saksi.

“Jadi, saya tampil buat kenyataan bukan mahu buat kecoh, sebaliknya nak bersihkan nama. Saya nak tegaskan, saya tak pernah ada skandal atau berkahwin dengan AR Badul.

“Kami hanya bekerjasama dalam filem Vik2ria Secret arahannya. Saya anggap AR Badul sebagai guru. Beliau banyak memberi tunjuk ajar dan saya sangat berterima kasih dan menghargainya,” katanya.

Sehubungan itu, Annie mohon Richard membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh seminggu ini.

“Saya betul-betul malu dan rasa dianiaya. Ini bukan gimik atau isu nak lariskan filem, ini soal maruah saya.

“Jadi, saya mohon Richard buat permohonan maaf secara terbuka dan tampil berbincang untuk selesaikan isu ini.

“Saya beri tempoh seminggu. Jika tiada apa-apa tindakan, saya akan rujuk pada peguam untuk tindakan susulan.

“Saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak pada Khamis lalu,” tambahnya.

Terdahulu, Annie memegang watak utama dalam filem terbitan Sheunik Sdn Bhd itu.

Selain Annie, filem menemui penonton di pawagam sejak Khamis lalu itu turut dibintangi Ropie, Man Raja Lawak, Che Mat, Fiza Halim, Wan Gegau, Amaris dan Fared Adnan.

The post Didakwa Jadi Bahan Gosip Lariskan Filem… Annie Arifin Mahu Penerbit Minta Maaf, Sudah Buat Laporan Polis appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.