Ads Top

Ratu Ten Pin 2: Shalin Inspirasi Kisah Hidup Ratu Boling Negara Shalin Zulkifli

Astro Ria membawa drama bersiri ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ yang merupakan sambungan kepada siri ‘Ratu Ten Pin’ hasil terbitan JS Pictures Sdn Bhd. Penceritaan menerusi 20 episod ini diinspirasikan daripada kisah hidup ratu boling negara, Shalin Zulkifli termasuk bibit-bibit permulaan dirinya berkecimpung dan menyertai pasukan boling negara.

Pengarahnya, Azman Hj Yahya atau Jinggo berkata, untuk drama terbaharu ini, ia sememangnya signifikan dengan Shalin yang sememangnya menjadi ikon dan cukup dikenali dalam sukan boling.

“Dia adalah ikon atau orang yang lebih dikenali dengan dunia sukan boling. Sejak dahulu saya ikuti cerita dia. Dari usia muda, dia telah mewakili negara dengan pelbagai kemenangan. Pada musim pertama, kita lebih kepada intro, namun untuk musim kedua pula memang kami buat cerita mengenai Shalin untuk mengelak jalan cerita yang sama.

“Penceritaan kali ini lebih banyak kepada pengorbanan dan kepayahan Shalin dalam mencipta nama sebagai Ratu Ten Pin negara. Cerita kepayahan dan kesusahan ditambah dengan subplot yang lain untuk dijadikan bahan-bahan atau fakta yang menyokong ceritanya. Kalau kita buat cerita Shalin sahaja, dua episod sudah habis. Kita tokok tambah untuk menjadikan ceritanya lebih menarik,” jelasnya.

Menerusi musim kedua, Mem Maria menjemput Shalin menyertai pasukan boling negara kerana kagum melihat kebolehannya. Setelah melihat kebolehan ahli baharu pasukan negara itu, Norma dan Sandra mula mencemburui kebolehan Shalin dan berpura-pura berbaik dengannya.

Mereka berhasrat untuk menjatuhkan Shalin kerana merasakan diri mereka terancam dengan kehadirannya. Penonton juga akan dapat menyaksikan bagaimana hubungan Shalin dan Azidi bermula hingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Muhammad Idlan Afiq Mohamad Zahari berkata, mengangkat kisah Shalin Zulkifli sebagai naratif utama membuatkan pihak Astro berbangga kerana diberikan peluang untuk menjadi platform untuk memaparkan kisah ratu boling negara.

“Drama bersiri ini menjanjikan pelbagai kelainan- sepertimana kita tahu, ia berunsurkan sukan boling dan bagaimana kompetitifnya arena sukan tersebut. Drama ini mengangkat watak-watak wanita muda yang progresif dan berdaya saing, lantas menjadi role model kepada anak-anak muda, terutamanya mereka yang menceburi bidang sukan.

“Jasmine Suraya yang memegang watak Shalin berhasil mengubah dirinya bukan sahaja dari segi perwatakan tetapi juga secara fizikal demi menjiwai watak Shalin. Perubahan ini amat mengagumkan. Pastinya para penonton akan terkejut melihat transformasinya itu,” jelasnya.

Drama yang berunsurkan genre sukan ini mengangkat barisan pelakon popular seperti Jasmine Suraya, Yusuf Bahrin, Elisya Sandha, Nazim Othman dan Sheila Rusly.

Selain itu, ia turut membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Nasz Sally, Wani Kayrie, Linda Onn, Riezman Khuzaimi, Dato’ Fizz Fairuz dan juga bekas pemain profesional tenpin boling Malaysia, Syaidatul Afifah.

‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 11 Julai 2022 secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. – KopiPlanet.com

The post Ratu Ten Pin 2: Shalin Inspirasi Kisah Hidup Ratu Boling Negara Shalin Zulkifli appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.