Ads Top

Drama Bersiri Popular Amerika Syarikat, Gossip Girl Diadaptasi Dalam Versi Indonesia

Drama siri popular Amerika Syarikat terbitan Warner Bros, Gossip Girl yang memaparkan kisah remaja dari keluarga sosialit di Manhattan telah diadaptasi dalam versi Indonesia dengan menggunakan tajuk Gossip Girl Indonesia dan kini temui penonton Malaysia buat pertama kali menerusi platform Astro.

Menariknya, untuk versi Indonesia ia turut diselitkan dengan nilai dan budaya Nusantara serta dipadatkan lagi dengan elemen-elemen yang relevan untuk tontonan masa kini seperti gaya fesyen serta teknologi, yang mana versi Hollywood memaparkan penggunaan blog tetapi versi ini menggantikannya dengan platform Instagram.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, drama siri Gossip Girl masih relevan dan menjadi salah satu siri yang diminati sehingga kini, malah pihaknya berasa teruja kerana berpeluang membawakan versi adaptasinya untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia buat pertama kali di platform Astro.

“Meskipun ia adalah adaptasi, namun beberapa elemen telah diubah bagi menyesuaikan dengan era terkini serta menyerapkan identiti lokal seperti nama dan isu sosial. Kami percaya, kehadiran drama siri Gossip Girl Indonesia di Astro mampu memberi keterujaan kepada peminat siri asal, di samping mampu menarik penonton baru terutamanya dari Gen Z.

“Ini adalah kali pertama kami membawakan karya dari platform strim di Indonesia, GoPlay. Kami harap ini adalah permulaan yang baik buat Astro untuk membawakan karya-karya Malaysia pula menembusi platform strim di Indonesia kelak,” ujarnya.

Gossip Girl Indonesia membawakan cerita tentang remaja dari keluarga golongan sosialit, Serena Darsono yang bersahabat baik dengan Denny Hakim, Jenny Hakim, Blair Hadiningrat, Vanessa, Nathaniel Siregar, dan Chicco Salim.

Serena merupakan gadis popular di sekolahnya dan telah menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sejak itu, sahabat baik Serena iaitu Blair telah mengambil tempat Serena. Apabila Serena kembali, kedua-dua mereka dilihat baik, namun hakikatnya tidak dan tercetus persengketaan. Dalam pada itu, gerak-geri mereka telah diawasi oleh akaun Instagram terkenal @GossipGirl.Indo.

Sementara itu, CEO GoPlay Edy Sulistyo menyatakan mereka berbesar hati apabila Top Drama Series 2020 di platform mereka menemui penonton global.

Ujarnya, kemunculan GoPlay Original Series, Gossip Girl Indonesia di negara-negara Asia Tenggara juga membuktikan filem industri Indonesia dan tenaga kreatif kandungan mampu berada setanding dengan konten berkualiti antarabangsa.

“Kami percaya dengan sokongan pemasaran oleh pihak Astro, Gossip Girl Indonesia dapat dipersembahkan kepada penonton sasaran dan sekali gus menarik peminat baru.

“Dalam pada itu, sejajar dengan misi Gojek dan GoPlay dalam mendominasi industri kreatif Indonesia di peringkat global, kerjasama ini turut membolehkan industri seni serantau terus berada di landasan yang tepat dalam memacu cita-cita ke arah memberikan pengalaman berbeza kepada penonton serta memperluaskan lagi hasil karya seni dari negara Asia ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.

Drama bersiri 9 episod tersebut telah pun memulakan tayangannya pada 7 Februari lalu dan boleh ditonton di On Demand serta Astro Citra, saluran 108 setiap hari Isnin pada pukul 9.00 malam. – KopiPlanet.com

The post Drama Bersiri Popular Amerika Syarikat, Gossip Girl Diadaptasi Dalam Versi Indonesia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.