Ads Top

Azeva Tampil Dengan Single Sulung ‘Tanpa Rasa Jemu’, Bawa Mesej Keutuhan Kasih Sayang Biarpun Dilanda Dugaan

Penyanyi baharu, Azeva, tampil mempertaruhkan single sulung berjudul “Tanpa Rasa Jemu”, sebuah karya yang mengangkat tema kasih sayang dan kesetiaan tanpa syarat. 

Lagu ciptaan Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi dengan lirik hasil nukilan ibunya, Datuk A. Aida itu menjadi titik permulaan perjalanan seni Azeva dalam industri muzik tanah air.

Menurut Azeva, daripada beberapa pilihan lagu yang diterimanya, “Tanpa Rasa Jemu” berjaya mencuri hatinya sejak pertama kali didengarkan. 

Susunan muzik yang indah, lirik yang menyentuh jiwa serta dinamik lagu yang kuat membuatkan beliau yakin karya tersebut adalah pilihan terbaik untuk diperkenalkan sebagai single sulungnya.

Tambahan pula, proses menghasilkan lagu itu menjadi lebih bermakna apabila ibunya sendiri turut terlibat dalam pembikinan lirik, selain mendapat bimbingan daripada barisan komposer berpengalaman.

“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini.

Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas. Lagu ini juga sangat istimewa kerana mama turut terlibat dalam proses pembikinannya, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman. 

“Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa,” katanya.

Mengulas mengenai maksud di sebalik lagu tersebut, Azeva berkata “Tanpa Rasa Jemu” membawa mesej tentang kasih sayang yang tetap utuh walaupun diuji dengan pelbagai dugaan.

Lagu itu turut menjadi runut bunyi (OST) kepada filem ‘Bisikan Nafsu’ yang mengisahkan seorang lelaki yang terus setia mencintai pasangannya walaupun berdepan ujian yang amat berat. Filem ini bakal menemui penonton pada 1 Oktober 2026 di pawagam di seluruh negara.  

Bagi Azeva, mesej itu bukan sekadar berkisar tentang cinta antara pasangan, malah boleh diterjemahkan kepada kasih sayang dalam keluarga yang sentiasa menerima dan menyokong tanpa mengenal penat atau jemu.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman menyanyi secara profesional ketika memulakan rakaman lagu tersebut, Azeva mengakui proses pembikinan “Tanpa Rasa Jemu” banyak mengajarnya mengenai teknik vokal, sebutan dan kawalan suara. 

“Pengalaman mengikuti kelas vokal menjadikan saya lebih yakin untuk membuat persembahan secara langsung, sekali gus membuktikan bahawa setiap proses pembelajaran telah membentuk diri saya sebagai seorang penyanyi yang lebih matang,” katanya.

Dalam pada itu, Azeva berharap “Tanpa Rasa Jemu” akan terus mendapat tempat di hati pendengar dan menjadi lagu yang sentiasa diingati. 

Azeva turut memaklumkan bahawa dua lagi projek rakaman sedang dalam perancangan, termasuk sebuah versi baharu lagu “Sejiwa” yang mempunyai nilai sentimental buat keluarganya serta sebuah lagu tema (OST) untuk sebuah animasi.

“Harapan saya semoga semua orang terus mendengar Tanpa Rasa Jemu, tanpa rasa jemu juga. Saya mahu lagu ini kekal di hati pendengar dan menjadi karya yang sentiasa mereka ingati.

Ini hanyalah permulaan perjalanan saya dalam dunia muzik, dan saya berharap dapat terus berkongsi lebih banyak karya selepas ini,” katanya.

Single sulung Azeva, “Tanpa Rasa Jemu” yang diterbitkan secara usahasama antara Nova Music Malaysia dan A. Aida Production boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik pada 11 September 2025 dan muzik video rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari yang sama jam 3 petang di pautan https://youtu.be/0-bG6Os3dJc?si=Cu5N4fV4GG_wodXt . – KopiPlanet.com

The post Azeva Tampil Dengan Single Sulung ‘Tanpa Rasa Jemu’, Bawa Mesej Keutuhan Kasih Sayang Biarpun Dilanda Dugaan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.