Ads Top

Akui Tiada Bakat Dalam Bidang Lakonan, Amir Masdi Sedia Jika Diberi Peluang Berlakon Lagi

Pernah membuat kemunculan sulung dalam lakonan menerusi drama bersiri Ahli Bapak-Bapak Club pada tahun lalu, ternyata lakonannya mendapat pujian ramai.

Bagaimanapun, setelah drama tersebut, penyanyi yang popular menerusi lagu Kau Sakiti itu tidak lagi muncul dalam mana-mana drama.

“Saya tak sangka lakonan saya dalam drama itu mendapat maklum balas positif sehingga ramai yang puji. Namun, saya akui memang tidak mempunyai bakat sebagai pelakon.

“Dahulu apabila saya menerima peluang berlakon drama tersebut, ia sekadar lebih kepada mahu mencari pengalaman sahaja,” ujarnya.

Amir berkata demikian ketika sesi sedang media secara virtual pelancaran lagu Debu yang dinyanyikan duet bersama Dayang Nurfaizah.

Biarpun mengakui tidak mempunyai bakat dalam bidang lakonan, namun Amir menyatakan dia sudi untuk mempertimbangkan sekiranya ada lagi tawaran berlakon.

“Apapun saya tetap bersedia untuk berlakon lagi jika diberi peluang lagi. Lagipun banyak yang dipelajari ketika kali pertama berlakon dahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengenai projek terbaharunya iaitu single baharu iaitu Debu bersama Dayang Norfaizah, Amir menganggap ia satu penghormatan apabila menjadi pilihan penyanyi berkenaan.

Ujar Amir, ia juga bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan kerana Dayang merupakan antara penyanyi diingininya untuk bekerjasama.

“Ini memang antara impian saya untuk berduet dan keluarkan lagu dengan Dayang. Bila dapat tahu akan berduet dengan Dayang dan saya nampak dia dalam studio, saya rasa teruja. Dayang seorang yang sangat ‘humble. Apabila saya jumpa, dia kata yang dia segan dengan saya.

“Jadi dari situ, saya berasakan dia seorang yang sangat merendah diri untuk seorang yang sudah ada status serta nama yang besar dalam industri. Perkara itu membuatkan saya berasa terharu dan sangat dihargai. Dia tak kira yang saya ini orang baru atau tidak, dia tetap layan saya sama macam semua orang,” katanya.

Single Debu”nyanyian Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi yang diterbitkan secara usahasama oleh Nova Music dan Faithful Music serta diedarkan Universal Music Malaysia boleh mula di strim di semua pelantar muzik digital sejak 22 Februari lalu.

Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Faithful Music pada hari yang sama iaitu pada pukul 9.00 malam. – KopiPlanet.com

The post Akui Tiada Bakat Dalam Bidang Lakonan, Amir Masdi Sedia Jika Diberi Peluang Berlakon Lagi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.