Ads Top

Zul Ariffin Akui Babak Dukung Untuk Iklan Promosi Produk Bengkung Berlaku Secara Spontan & Tidak Dirancang

Pelakon popular, Zul Ariffin, menjelaskan babak aksi mesranya mendukung seorang wanita yang bertujuan mempromosikan sebuah produk bengkung sebenarnya berlaku dengan tidak dirancang dan terjadi secara spontan.

Zul yang terbabit dalam mempromosikan produk itu berkata, seharusnya tidak timbul soal gimik atau sebahagian daripada strategi pemasaran untuk promosi kerana sejak dari awal babak seperti itu tidak pernah dibincangkan.

“Semasa berlangsungnya penggambaran kami terfikir mengapa tidak lakukan sesuatu yang menarik. Apa yang boleh saya katakan, ideanya cuma nak ‘having fun’ sepanjang menjalani penggambaran.

“Sebenarnya ia tidak dirancang untuk babak sebegitu kerana ia berlaku spontan. Cuma, kami tak sangka pula orang nak bercakap mengenainya dan kemudian jadi tular.

“Bagi saya, terpulang tentang penerimaan orang ramai. Kalau orang nak bercakap mengenainya dan katakan yang ia nampak macam promosi, terserahlah…,” jelasnya.

Sebelum ini, pelakon itu menjadi bualan netizen di media sosial apabila aksi lakonan mesra berbaur intimasinya bersama Farah Abdul Aziz menerusi iklan bengkung Superwoman telah menimbulkan rasa kurang senang mereka yang menontonnya.

Pada masa sama, pelakon itu sedar dia tidak mampu menutup mulut atau menghalang sebarang pandangan peribadi penonton mengenai aksi mesra yang dipaparkan, meskipun semua itu dilakukan atas tujuan kerja dan bukan sekadar suka-suka.

“Kami tak berniat pun nak menjadikan promosi itu antara objektif untuk menjadi tular. Malah, saya tak kisah pun jika orang nak kritik atau kecam sebab saya buat kerja.

“Kalau nak bercakap pasal kritikan atau kecaman, itu semua dah saya anggap bak ‘sarapan pagi’. Maaf cakaplah…Apabila bercakap mengenai kerja, saya memang akan komited dan fokus,” katanya.

Dalam pada itu, Zul menegaskan tiada halangan untuk dia melakonkan sesuatu watak atau aksi sebegitu, tidak kira dengan sesiapa pun jika ia atas tujuan kerja.

“Ini adalah bidang perniagaan hiburan dan proses kreatif, manakala lakonan adalah kerja saya. Bukan saya yang pilih-pilih nak dukung siapa kalau diminta untuk buat kerja. Sekali lagi saya tegaskan, saya cuma buat kerja,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya sebagai duta produk tersebut, Zul meluahkan rasa terharunya apabila terpilih dan diberi kepercayaan itu.

Jelasnya, penggunaan bengkung ternyata bukan sahaja khusus untuk kaum wanita, malah boleh digunakan oleh kaum lelaki terutama untuk tujuan sokongan tubuh badan yang tegap dan seumpamanya.

“Saya juga menyukai produk bengkung yang banyak membantu saya bersenam di gimnasium. Saya akui yang saya tidak kongsikan aktiviti senaman saya di media sosial dan lebih suka buat secara senyap. Cuma untuk ini, tak lama pun saya ambil masa untuk bersetuju sebab memang menggunakan bengkung untuk tujuan sokongan tubuh badan.

“Lagipun senang bekerjasama dengan pasukan Superwoman dan saya juga menyukai produk bengkung yang dikeluarkan. Semestinya, saya mahukan sesuatu yang berkualiti kerana turut menggunakan nama saya sebagai duta,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Zul Ariffin Akui Babak Dukung Untuk Iklan Promosi Produk Bengkung Berlaku Secara Spontan & Tidak Dirancang appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.