Ads Top

Selepas Bersalin Anak Kedua, Eyra Hazali Rancang Mahu Berehat Daripada Berlakon Selama Setahun

Masih lagi dihujani dengan tawaran lakonan ketika sedang hamil anak kedua, pelakon popular Eyra Hazali mengakui akan meletakkan syarat untuk mana-mana tawaran yang diterima.

Eyra berkata, dia bukanlah mahu menolak rezeki, namun ia adalah pengorbanan yang terpaksa dilakukan memandangkan keadaan dirinya yang agak lemah ketika fasa awal kehamilan.

“Setakat ini tawaran masih lagi ada dan saya baru sahaja habis penggambaran drama di Terengganu. Tawaran ini saya terima sejak tahun lepas lagi, jadi ia perlu habiskan.

“Lagipun ketika mengandungkan anak kedua ini, saya akui agak lemah sedikit pada fasa awal. Namun, mujur dapat habiskan juga penggambaran, bukan mudah memandangkan terpaksa menguruskan semua sendiri tanpa suami ketika itu,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai perancangannya, Eyra memaklumkan dia mahu memberikan fokus terhadap perniagaannya serta mengambil cuti yang lebih panjang selepas melahirkan anaknya nanti.

Jelasnya, selain mahu memastikan dia benar-benar sedia untuk kembali ke bidang lakonan, waktu yang ada juga mahu digunakannya untuk menimba ilmu perniagaan.

“Setakat ini saya tidak terima sebarang tawaran lakonan, lagipun perut sudah besar jadi saya lebih selesa berada di rumah selain menggunakan ruang ini untuk menyusun semula strategi perniagaan.

“Apa-apaun saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan yang sudah sebati dengan diri saya. Cuma, selepas bersalin nanti saya mahu berehat dahulu selama setahun. Saya yakin dengan sokongan keluarga saya akan kembali ke dunia lakonan dalam keadaan yang cukup bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai perniagaannya, Eyra memberitahu dia sedang berusaha memastikan perniagaan minyak wangi yang dimulakan dirinya sejak dua tahun lalu terus bergerak maju.

Berkongsi lebih lanjut, Eyra menyatakan dia cukup bertuah untuk diberikan kepercayaan pihak Nori Malaysia Sdn Bhd. untuk muncul dengan wangian pilihanya sendiri.

“Apabila pihak Nori Malaysia memilih saya untuk berkolaborasi, apa yang terlintas dalam fikiran saya adalah mungkin ini langkah awal saya untuk bergelar seorang usahawan. Dengan usia muda ini saya tidak mahu ini dijadikan alasan untuk saya tidak berani mencuba.

“Siapa sangka selepas dua tahun, apa yang cukup membanggakan ketiga-tiga produk wangian di bawah jenama Eyra Hazali mendapat sambutan yang cukup baik. Buat masa ini saya sudah kenalkan empat wangian berbeza dengan tiga darinya menggunakan nama tiga kota terkenal. Bermula dengan wangian London, Barcelona, Qasdina dan Paris,” jelasnya.

Tambahnya, sebagai seorang yang tidak berpengalaman dalam bidang perniagaan, dia sentiasa terbuka untuk belajar tentang selok-belok perniagaan dan memastikan setiap produk yang dihasilkan haruslah ada elemen ‘mesra pengguna’. Selain memastikan produk ini berkualiti untuk mendapatkan kepercayaan pengguna, apa yang dititikberatkan saya juga bagaimana wangian di bawah jenama Eyra Hazali Beauty ini juga berbeza dengan produk wangian di luar sana.

“Bila perbincangan dilakukan dengan pihak Nori Malaysia mereka setuju jika tumpuan produk ini juga turut diberikan perhatian terhadap pembungkusan. Tidak sekadar botol yang berkualiti, saya juga muncul dengan idea untuk memastikan bahagian atas minyak wangi ini tiada penutup. Sebab sebagai salah seorang pengguna tegar wangian kita tahu kehilangan penutup botol minyak wangi memang selalu berlaku. Siapa sangka idea itu menyebabkan wangian saya diterima baik sehingga kini,” katanya gembira.

Berkongsi mengenai cabaran, Eyra tidak nafikan umur dan pengalaman menjadi sebab untuk dia perlu berusaha lebih keras. Tidak kisah untuk bermula dari bawah, Eyra akui dengan bimbingan yang diberikan pihak Nori Malaysia juga turut menyebabkan dia yakin dengan perniagaan ini. Tambahnya sebagai usahawan muda yang baru berkecimpung dalam bidang ini, tempoh Perintah Kawalan Pergerak (PKP) lalu juga memerlukan dia muncul dengan idea baharu untuk memasarkan produk ini.

“Bercakap soal pengalaman dalam bidang perniagaan tidak banyak yang boleh dikongsikan, tetapi saya banyak berterima kasih kepada rakan saya yang banyak membantu memahami selok belok dunia perniagaan. Walaupun muda tetapi saya yakin ini juga kelebihan buat diri saya memandangkan masih ada banyak masa untuk belajar.

“Malah apa yang cukup saya bangga kini bagaimana wangian dibawa jenama saya kini juga sudah berada di rangkaian pasaraya Aeon di seluruh negara. Antaranya MidValley, Maluri Bukit Tinggi, Shah Alam, Cheras Selatan, Nilai dan banyak lagi. Selain itu juga ke empat-empat wangian say aini juga boleh didapati di Wetex, Muar yang juga outlet Nori. Apa yang cukup membanggakan pada awal tahun ini juga wangian saya akan turut berada di 28 rangkaian Watson.

“Lebih penting sebagai orang muda saya juga senang untuk memastikan produk ini lebih mudah didapati secara atas talian. Selain melalui laman web Nori Malaysia sendiri, wangian saya juga boleh didapati melalui aplikasi membeli belah,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Selepas Bersalin Anak Kedua, Eyra Hazali Rancang Mahu Berehat Daripada Berlakon Selama Setahun appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.