Ads Top

Mahu Elak Stereotaip, Zarina Anjoulie Idam Mahu Bawa Watak Ustazah

Pelakon dan selebriti popular, Zarina Anjoulie menyatakan dia mengidam untuk membawakan watak seorang ustazah sekiranya ditawarkan berlakon oleh mana-mana pihak.

Zarina berkata, dia mahu mengelakkan stereotaip jika ditawarkan watak-watak biasa yang selalu dilakonkan oleh pelakon-pelakon lain.

“Kalau ditanya watak yang ingin saya bawakan, sebenarnya saya mengidamkan nak bawa watak seorang ustazah. Bagi saya ia sesuatu yang cukup menarik dan pasti penonton juga teruja nak tengok saya bawa watak sedemikian.

“Kalau kebanyakan pelakon wanita mahukan watak yang perlu tampil cantik atau anak orang kaya, apa salahnya saya cuba tampilkan kelainan dengan watak sebegini,” ujarnya.

Zarina berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran filem Hantu Kuat Ketawa yang berlangsung hari ini.

Dilihat sudah lama tidak muncul di kaca televisyen dan layar perak, namun dia mengakui memang banyak menerima tawaran berlakon.

Bagaimanapun, Zarina menjelaskan tawaran yang diterima terpaksa ditolak atas beberapa faktor seperti masa dan enggan berjauhan dengan anaknya.

“Memang dah lama saya tak berlakon dan banyak tawaran yang saya tolak kerana tidak boleh jauh dengan anak. 

“Sedangkan kebanyakan penggambaran perlu dilakukan di luar Kuala Lumpur dan Nilai. Namun, saya sedia mempertimbangkan sebarang tawaran sekiranya ada,” ujarnya.

Mengenai pembabitannya dalam filem Hantu Kuat Ketawa, Zarina menjelaskan minatnya terhadap Mawi sejak AF3 dahulu antara sebab dia menerima tawaran berlakon dalam filem berkenaan.

“Sejak AF3 lagi saya dah memang minat dengan Mawi. Jadi, apabila ditawarkan bekalan di bawah arahannya, sudah tentu ia sukar untuk ditolak.

“Lagipun jalan cerita filem ini cukup menarik dan saya terus memberikan persetujuan selepas ditawarkan,” ujarnya.

Filem Hantu Kuat Ketawa akan ditayangkan di saluran Astro First mulai 27 Januari ini. – KopiPlanet.com

The post Mahu Elak Stereotaip, Zarina Anjoulie Idam Mahu Bawa Watak Ustazah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.