Michael Ang Setuju Kru Produksi & Pelakon Jalani Ujian Air Kencing Sebelum Jalani Sesebuah Penggambaran
Penerbit dan pengarah popular, Michael Ang menyatakan persetujuan sekiranya kru produksi dan pelakon menjalani ujian air kencing sebelum menjalani sesebuah penggambaran.
Jelas Michael, perkara tersebut adalah sesuatu yang wajar dipertimbangkan demi memberi kebaikan kepada sesebuah syarikat produksi agar tidak menimbulkan sebarang masalah.
“Bab dadah ni saya memang pantang… saya dah beritahu pada semua kru dan pelakon saya tidak mahu tahu tentang life mereka di luar. Yang penting mereka datang set saya dan buat benda tu semua.
“Kalau di luar mereka nak buat apa, itu terpulang sebab saya sendiri tak boleh nak kawal. Namun di set mereka kena faham sebab kalau seorang yang timbulkan masalah, seluruh produksi akan terima akibat hingga kacau periuk nasi orang lain,” tegasnya.
Michael berkata demikian ketika sesi sidang media secara virtual bersama pengarah dan pelakon drama bersiri Sihir yang berlangsung semalam.
Baru-baru ini, industri hiburan digegarkan dengan penahanan seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah di sebuah lokasi penggambaran.
Dalam pada itu, biarpun bersetuju sekiranya kru produksi dan pelakon perlu menjalani ujian air kencing sebelum memulakan penggambaran, Michael menyatakan perkara tersebut harus dibincangan dengan semua pihak yang terlibat.
“Saya pernah cadangkan perkara ini kepada pihak Astro, namun apapun perkara ini juga membabitkan wang kerana kos produksi pastinya akan bertambah.
“Mungkin ada juga penerbit yang akan bising kerana nak buat ujian air akan menambahkan kos. Sekarang ni pun penerbit dah kena tambah kos untuk buat test Covid-19,” ujarnya.
Jelas Michael, sekiranya ujian air kencing ini perlu dilakukan pada masa akan datang, dia akan mengambil pendekatan dengan berbincang bersama pihak stesen TV, terutamanya menaikan sedikit jumlah bayaran.
“Kalau perkara ini dilakukan pasti ia memberi kebaikan kepada industri. Bayangkanlah masa shooting dan ada kru produksi atau pelakon yang khayal akibat kesan dadah, pastinya ia akan menimbulkan bahaya,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai projek terbaharu pula, Michael menyatakan dia akan muncul dengan sebuah drama seram berjudul Sihir yang menampilkan Kamal Adli dan Hun Haqeem selaku teraju utama.
Menariknya, selain Michael bertindak selaku pengarah, drama berkenaan turut menampilkan tiga orang lagi pengarah iaitu Azmir Effendi serta Kamal dan Hun Haqeem.
Sihir mengisahkan tentang adik-beradik kembar iaitu Nuh dan Hud yang mempunyai deria keenam dan cuba menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan sihir yang mengganggu orang di sekeliling mereka.
Drama berkenaan akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 11.00 malam bermula pada 1 November ini. – KopiPlanet.com
The post Michael Ang Setuju Kru Produksi & Pelakon Jalani Ujian Air Kencing Sebelum Jalani Sesebuah Penggambaran appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: