Ads Top

HOC Dakwa Sudah Dapat Kebenaran & Persetujuan Untuk Keluarkan Produk Rasmi Search

Pemilik House Of Champion (HOC), Mozylir Mokhtaruddin mendakwa pihaknya sudah mendapat kebenaran dan persetujuan daripada Din, Kid dan Nasir untuk mengeluarkan produk rasmi Search.

Menurut Mozylir, setiap perancangan yang dibuat telah diketahui oleh Nasir sendiri dan mereka kerap bertemu sejak tahun lalu untuk berbincang mengenai projek berkenaan.

“Nasir tahu setiap perancangan yang kami buat, malah saya kerap bertemu dengan dia di Johor Bharu memandangkan lokasi kami dekat dan ia memudahkan urusan perbincangan.

“Pada awalnya dia sendiri memang bersetuju. Bagaimanapun, apabila dia kata tidak tahu, sudah tentu saya agak kecewa dan terkejut,” ujarnya.

Sebelum ini, Amy dan Nasir dan mendakwa Mozylir dikatakan menggunakan nama ‘fenomenasearch’ melalui laman web serta menggunakan alamat emel yang memakai nama domain fenomenasearch.com bagi tujuan tersebut.

Ini termasuk penjualan pakaian dan aksesori menggunakan nama Search atau imej yang berkaitan dengan Search melalui laman web itu, Facebook, Instagram dan Shopee selain menjual kasut Aliph x Search – Edisi 2021 atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit.

Menurut Mozylir, kerjasama antara HOC dan Search ini sebenarnya sudah bermula sejak Februari 2020 menerusi konsert Apologia, di mana mereka terlibat secara langsung bagi mengeluarkan dan menjual produk rasmi Search.

Jelasnya lagi, kenyataan Nasir yang mengatakan tidak tahu tentang perkara tersebut adalah tidak benar kerana dia sememangnya mengetahui tentang penglibatan HOC.

“Segala dokumen yang berkaitan telah ditandatangani oleh Din dan telah dipersetujui untuk segala produk, reka bentuk, kuantiti yang dicadangkan dan agihan bayaran royalti kepada setiap individu yang berkaitan dengan pihak Search.

“Jadi, dakwaan mengatakan HOC tidak mendapat kebenaran Search khususnya Amy dan Nasir adalah tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Mengenai surat tuntutan yang telah dihantar oleh Amy dan Nasir, ujar Mozylir pihaknya sudah menerimanya pada hari Selasa lalu.

“Berkenaan dengan butiran-butiran surat tuntutan tersebut, ia adalah sama seperti yang terkandung dalam kenyataan yang telah dimuatnaik oleh Amy menerusi posting di Instagram pada minggu lalu.

Dalam pada itu, peguam lantikan HOC, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar menjelaskan penglibatan Amy bersama kumpulan Search sepatutnya tidak perlu memandangkan dia bukan lagi anggota kumpulan tersebut setelah membuat keputusan untuk keluar pada tahun lalu.

Syed Azimal yang mewakili Tetuan Syarif Ridzuan & Co berkata, Amy tidak seharusnya mencampuri urusan berkaitan kumpulan tersebut memandangkan Searc kini cuma dianggotai Din, Kid dan Nasir.

“Sekiranya sudah keluar daripada apa-apa persatuan atau kumpulan, ini bermakna seseorang itu tidak perlu terlibat dengan sebarang urusan. Apatah lagi dalam sebuah band yang tidak ada sebarang perjanjian.

“Lagipun Search tidak ada perjanjian secara bertulis sebagai sebuah band semasa dia bergelar anggota. Secara dasarnya, kalau sudah keluar maka tak perlu libatkan diri lagi. Dari segi perundangan, kalau sudah nyatakan keluar, dia tidak harus terlibat,” ujarnya.

Berkenaan dengan aspek pembayaran royalti atau hasil keuntungan jualan produk dan aksesori di bawah kendalian HOC, beliau berkata pembahagian boleh diberikan kepada semua anggota.

Bagaimanapun, apa yang menjadi isu utama adakah nama ‘Search’ itu sendiri telah didaftarkan atau tidak.

“Sekiranya sudah didaftarkan siapa pemiliknya? Mengenai royalti yang ingin dibayar oleh pihak anak guam saya ini, ia lebih kepada nilai dan semangat setiakawan.

“Walaupun Amy sudah keluar daripada Search, ini bermakna anak guam saya masih nak berikan bahagian tertentu kepadanya,” katanya. – KopiPlanet.com

The post HOC Dakwa Sudah Dapat Kebenaran & Persetujuan Untuk Keluarkan Produk Rasmi Search appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.