Ads Top

Dua Perkara Yang Sentiasa Muda Bagi Orang Tua

“Saya nampak sahaja berusia, tapi dalam hati masih muda”.

Lalu ucapan ini biasanya disambut dengan gelak tawa.

Sama ada ia ungkapan gurauan atau perkara yang benar-benar ingin ditegaskan oleh si pengucapnya, ia ungkapan yang menggambarkan perkara yang diyakini oleh kebanyakan orang – bahawa pertambahan umur akan memberi kesan kemerosotan kepada perubahan biologi dan fizikal tubuh badan, tetapi tidak bagi semangat dan rasa seronok dengan kehidupan.

“Life begins at 40”.

Itu pula kepercayaan sebahagian orang-orang barat, bahawa hidup akan lebih baik dan bermakna apabila umur menjengah angka empat puluh.

Apa Kata Islam?

Sebenarnya Rasulullah SAW juga pernah mengkhabarkan hakikat tentang ujian usia kepada kita. Ada dua perkara yang akan sentiasa muda dalam diri manusia, sekalipun telah meningkat usia.

Pertama, rasa cinta kepada dunia.

Kedua, panjang angan-angan.

أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَزَالُ قَلْبُ الْكَبِيرِ شَابًّا فِي اثْنَتَيْنِ فِي حُبِّ الدُّنْيَا وَطُولِ الْأَمَلِ

Telah mengkhabarkan kepadaku Sa’id bin Al Musayyab bahawa Abu Hurairah RA berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Hati orang tua masih tetap berjiwa muda dalam dua perkara, iaitu; mencintai dunia dan panjang angan-angan.” (HR Bukhari, no. 5941, Status Hadis Sahih)

Apakah Tanda Mencintai Dunia Dan Panjang Angan-Angan

Tanda cintakan dunia dapat dikenal pasti secara umumnya berdasarkan perkara-perkara ini:

1. Hanya nikmat dunia yang menjadi matlamat dan tumpuan.

2. Lalai atau lupa kepada matlamat terakhir iaitu akhirat.

3. Mengetepikan agama dalam urusan seharian – baik kerana merasakan bahawa ia suatu yang menyukarkan atau tidak relevan dengan kehidupan.

Rasulullah menyebut hal ini sebagai suatu penyakit yang ada dalam hati manusia iaitu ‘wahn’, rasa takut kepada mati disebabkan terlalu suka dengan kehidupan dunia.

Dan perkara terakhir yang saya secara peribadinya rasakan ia juga adalah tanda cinta kepada dunia, adalah apabila kita menjadi terlalu kecewa dengan apa yang hilang daripada kita, tidak kira sama ada ia dalam bentuk duit, kematian ahli keluarga, kehilangan harta, kediaman, malah apa jua hiasan dunia.

Adakah Cinta Dunia Dan Panjang Angan-Angan Membawa Kesan Negatif Sahaja

Timbul pula persoalan, adakah panjang angan-angan dan rasa suka kepada dunia hanya membawa kesan negatif sahaja? Ada insan-insan yang kita kenali, tokoh-tokoh dalam sejarah, meskipun semakin meningkat usia namun pencapaian dalam apa yang dilakukan sangat menakjubkan, bahkan memberi manfaat kepada manusia lain.

Merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, sabda Nabi SAW:

Maksudnya: Ada empat perkara yang menyebabkan kecelakaan, iaitu kerasnya mata (tidak pernah menangis kerana Allah), hati yang keras, panjang angan-angan dan rakus terhadap duniawi (Riwayat Musnad al-Bazzar, no. 25).

Manusia adalah makhluk cerewet yang sentiasa mahukan sesuatu yang menyenangkan, yang mudah, yang cantik, yang mewah dan sebagainya, kerana itu Rasulullah SAW mengingatkan agar berwaspada, berhati-hati dengan keinginan hati yang melalaikan dan melekakan.

Berbalik semula kepada hadis yang pertawa di awal tadi, sebenarnya tidak salah untuk berasa sentiasa muda, jika ia disalurkan ke tempat yang betul, contohnya ia akan membuatkan kita sentiasa bersemangat untuk melakukan amal soleh, untuk berusaha serta bekerja bagi menyediakan kehidupan yang baik kepada orang di bawah tanggungan dan sebagainya.

Kuncinya hanya hati-hati dan waspada dengan apa yang ‘ditawarkan’ oleh dunia buat penghuninya.




No comments:

Powered by Blogger.