Perhimpunan Seeking Rahma 2025 Bawa Mesej Rohani Bertemakan ‘Janji Yang Pasti’
Buat julung kalinya, Perhimpunan Seeking Rahma 2025 akan berlangsung di Malaysia pada bulan lalu telah membawa mesej rohani yang mendalam bertemakan “Janji yang Pasti”, diinspirasikan daripada Surah Al-Waqi’ah yang mengangkat kebenaran abadi akhirat.
Selepas pelancaran sulung yang penuh impak di Indonesia pada 15 hingga 17 Mei lalu, program ini diteruskan ke Malaysia bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.
Sepanjang beberapa hari penganjuran, para hadirin akan disajikan dengan ceramah-ceramah Islamik, majlis zikir, dan konsert rohani yang menyentuh jiwa – semuanya bertujuan memperkukuh matlamat hidup, menyemai kesatuan ummah dan menzahirkan rahmah sejagat.
Acara ini dianjurkan oleh Seeking Rahma dan Rahma Worldwide (USA), dengan kerjasama rakan strategik tempatan termasuk Arteffect, Bevital, KABGold, Pertubuhan KAB dan lain-lain. Ia bukan sekadar platform keagamaan, malah medan memperjuangkan nilai kemanusiaan dalam dunia moden yang kian mencabar.
Bertunjangkan pengajaran Surah Al-Waqi’ah, perhimpunan ini menjadi panggilan kepada refleksi diri dan tindakan nyata – menyeru umat Islam agar merenungi janji Allah serta memainkan peranan aktif dalam isu-isu kemanusiaan sejagat.

Fokus utama tahun ini tertumpu kepada misi kemanusiaan menyokong Bantuan Perubatan Gaza bersama Rahma Worldwide. Dengan sistem kesihatan Gaza yang semakin lumpuh akibat serangan berterusan, inisiatif ini bertujuan menyediakan rawatan trauma, bantuan kecemasan, dan keperluan perubatan kepada mangsa di sana.
Melalui acara ini, rakyat Malaysia diajak untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Gaza – bukan sekadar dengan doa, tetapi melalui sumbangan dan tindakan yang dilandasi kasih sayang serta keimanan.
Mengukir sejarah, buat pertama kalinya di Malaysia, penyanyi nasyid antarabangsa Mohamed Tarek akan mengadakan persembahan khas dalam sebuah konsert eksklusif yang diterbitkan oleh artis dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun.
Konsert ini juga menjadi medan pelancaran Rahma Tour Mohamed Tarek, menyatukan seni, spiritualiti dan mesej kemanusiaan – khususnya dalam menyemarakkan kesedaran terhadap isu Palestin melalui sentuhan seni rohani. – KopiPlanet.com
The post Perhimpunan Seeking Rahma 2025 Bawa Mesej Rohani Bertemakan ‘Janji Yang Pasti’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: