Ceburi Bidang Perniagaan, Eric Fuzi Kini Buka Medan Selera Masok Bersama Dua Anggota Kumpulan Floor 88
Melihatkan keadaan industri seni sekarang yang tidak menentu lantaran pandemik Covid-19 yang masih lagi belum berakhir, kebanyakan artis kini mula menceburi bidang perniagaan.
Yang terbaru, pemain keyboard kumpulan Floor 88, Eric Fuzi yang kini telah mengusahakan Medan Selera Masok yang terletak di Kampung Baru sejak sebulan lalu bersama dua orang anggota yang lain.
“Sebagai seorang anak seni, rezeki dalam bidang hiburan ini memang sukar untuk dijangka. Jadi, persediaan awal itu perlu ada dan saya ambil keputusan untuk terbabit dalam bidang perniagaan.
“Lagipun saya juga kena sentiasa beringat bahawa setiap yang diusahakan ini adalah atas izin Allah SWT. Apatah lagi industri kita juga ada pasang surutnya,” ujar Eric.
Eric berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran dan berbuka puasa Medan Selera Masok baru-baru ini.
Ujar Eric, ketika ini terdapat beberapa artis yang turut menjalankan perniagaan di medan selera yang diusahakannya itu.
Antaranya seperti Aiman Tino, Ismail Izzani, Nabila Razali, Shuk Sahar, Ara Johari, Aliff Aziz, Bella Astillah, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran.
Bercerita tentang permulaan untuk mengusahakan medan selera tersebut, Eric berkata ia bermula beberapa bulan lalu.
“Tapak medan selera ini saya ambil alih daripada orang lain. Ketika ditawarkan untuk meneruskan perniagaannya, saya juga mengajak rakan-rakan Floor 88 lain.
“Achol dan Falique bersetuju untuk menyertai saya, manakala ahli lain mempunyai komitmen masing-masing yang perlu diberi fokus,” katanya lagi.
Menurut Eric dia memilih rakan artis untuk membuka gerai makanan di medan seleranya kerana inginkan kelainan, selain mudah untuk menarik perhatian pelanggan.
Mengenai cabaran yang dilalui sepanjang tempoh untuk memulakan operasi, mereka seperti kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, ujar Eric, selepas syarat PKP dilonggarkan, medan seleranya menerima kunjungan yang memberansangkan daripada pelanggan.
“Medan selera kami dibuka secara rasmi pada 16 Mac lalu selepas hampir 3 bulan tidak beroperasi sejak Januari akibat PKP. Alhamdulillah, sambutan sangat memberansangkan,” ujarnya lagi.
Sepanjang bulan Ramadan, Medan Selera Masok beroperasi bermula pukul 5 petang sehingga 3 pagi. – KopiPlanet.com
The post Ceburi Bidang Perniagaan, Eric Fuzi Kini Buka Medan Selera Masok Bersama Dua Anggota Kumpulan Floor 88 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: