Ads Top

Rupanya Kita Salah Faham – Dosa Menfitnah Lebih Besar Daripada Membunuh

“Eh, dosa fitnah lagi besar daripada bunuh, tau!”

Kerap kali kita mendengar kata-kata seumpama itu sama ada dalam bentuk gurauan sesama rakan atau ketika ingin mematikan hujah lawan. Ia diambil daripada sepotong ayat yang terkandung di dalam Al-Quran.

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya: … dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan… (Surah Al-Baqarah 2: 191)

Namun, adakah benar seperti yang dikatakan – dosa fitnah itu lebih besar daripada dosa membunuh atau sebenarnya ada maksud lain di sebalik ayat tersebut?

Maksud Fitnah

Fitnah berasal daripada perkataan bahasa Arab. Seperti yang dikatakan oleh Al-Azhari rahimahullah “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian”.

الابتلاء، والامتحان

Ibnu Faris rahimahullah dalam Kitab Maqayis Al-lughah (4/4) berkata,

“الفاء والتاء والنون أصل صحيح يدل على الابتلاء والاختبار”

“Huruf Fa`, Ta`, dan Nun adalah huruf dasar yang sahih menunjukkan kepada cubaan dan ujian” (Maqayisul Lughah: 4/472).

Ibnul Atsiir rahimahullah berkata:

الامتحان والاختبار … وقد كثر استعمالها فيما أخرجه الاختبار من المكروه، ثم كثر حتى استعمل بمعنى الإثم والكفر والقتال والإحراق والإزالة والصرف عن الشيء

“(Secara bahasa maknanya) “Ujian… dan (kata fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai, kemudian setelah itu banyak digunakan untuk makna-makna: dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu” (An-Nihayah – 3/410)

Bahasa Arab ialah bahasa yang kaya dengan makna. Satu perkataan sahaja mampu membawa banyak pengertian dalam konteks yang berbeza-beza. Sama juga penggunaannya di dalam Al-Quran, setiap perkataan ‘fitnah’ yang digunakan pada ayat yang berbeza membawa makna yang berbeza pula.

Dalam hal ini, fitnah boleh membawa maksud kesesatan, pembunuhan dan penawanan, perselisihan pendapat dan juga gila. Contohnya seperti dalam ayat di bawah:

1. Fitnah Bermaksud Gila

بِأَيْيِكُمُ الْمَفْتُونُ

“Siapa di antara kalian yang gila” (Surah Al-Qalam: 6)

Maksud (الْمَفْتُونُ) dalam ayat ini adalah gila.

2. Fitnah Bermaksud Perselisihan Faham

Manakala dalam Surah At-Taubah, ayat 47, fitnah bermaksud perselisihan faham.

لَوْ خَرَجُوا فِيكُمْ مَا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ

“Jika mereka berangkat bersama-sama kalian, niscaya mereka tidak menambah kalian selain dari kerusakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisan kalian, untuk mengadakan perselisihan di antara kalian” (At-Taubah: 47)

Maksud dari (يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ) adalah mereka menjerumuskan kalian ke dalam perselisihan diantara kalian.

Makna Sebenar Di Sebalik ‘Fitnah Lebih Besar Daripada Membunuh’

Konteks Penurunan Ayat

Ayat Al-Quran perlu difahami secara menyeluruh. Sejarah penyurunan serta konteks penggunaan perkataan perlu dilihat supaya maksud sebenar dapat difahami.

Hal ini ada diterangkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagaimana berikut:

Bagi ayat 191 Surah Al-Baqarah, ayat penuhnya ialah:

وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُم مِّنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ وَلاَ تُقَاتِلُوهُمْ عِندَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّى يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ فَإِن قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ كَذَلِكَ جَزَاء الْكَافِرِينَ

Maksudnya: Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.

Manakala bagi ayat 217 surah yang sama pula, ayat penuhnya ialah:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ اللَّـهِ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَـٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati).

Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

Komentar Ulama’ Tafsir

Imam at-Thabari

Makna fitnah dalam ayat والفتنة أشد من القتل ialah syirik, maka ayat ini bermaksud penentangan kaum kafir musyrikin terhadap orang Mu’min sehingga dia kembali menjadi musyrik, adalah lebih dahsyat dan lebih memudaratkan berbanding dia dibunuh dalam keadaan dia tetap berpegang teguh pada agamanya (Islam). Beliau turut menukilkan pandangan Mujahid yang mempunyai maksud yang sama dalam hal ini. (Rujuk Jami’ul Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, 3/565)

Imam al-Qurthubi

Menurut Imam Al-Qurtubi pula, ayat ini turun berkenaan salah seorang sahabat yang bernama Waqid bin Abdillah at-Tamimiy RA yang telah membunuh ‘Amru bin al-Hadhramiy pada akhir bulan Rejab (salah satu bulan haram) dalam satu ekspedisi bersama beberapa orang sahabat yang lain, dalam usaha menangani ancaman musyrikin Quraish di Mekah.

Maka, fitnah dalam ayat ini merujuk kepada usaha orang kafir untuk memaksa kaum Muslimin supaya kembali kepada kekufuran, dan ia adalah lebih besar kemudaratannya berbanding usaha balas kaum Muslimin untuk kembali memerangi mereka meskipun pada bulan-bulan haram.
(Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 2/351 dan 3/46)

Syaikh Abdurrahman as-Sa’di

Kata Syeikh as-Sa’di, berperang sewaktu bulan-bulan haram di Tanah Haram (Mekah) merupakan satu mafsadah, namun demikian fitnah yang dilakukan oleh kaum Musyrikin iaitu menghalang manusia daripada agama Allah dan melakukan syirik merupakan mafsadah yang lebih besar. Maka berperang dalam keadaan tersebut adalah diharuskan.

Daripada ayat ini jugalah salah satu kaedah fiqh yang masyhur diambil: Mengambil / melakukan mudarat yang lebih kecil untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.
(Rujuk Taysir al-Karim ar-Rahman, 1/89 dan 1/97)

Kesimpulan

Hasil daripada penerangan para ahli tafsir berkenaan ayat tentang ‘fitnah’ di atas telah menjernihkan sangkaan kita tentang perkara ini. Ia bukanlah bermaksud ‘fitnah’ yang seperti kita fahami – yang biasa kita gunakan untuk memberi maksud ‘tuduhan’ yang salah kepada seseorang.

Istilah ‘fitnah’ dalam ayat di atas merujuk kepada penentangan kaum kafir Musyrikin terhadap kaum Mukmim dan juga kesyirikan mereka kepada Allah. Maka maksud sebenar ayat والفتنة أشد من القتل ialah ‘penentangan dan kesyirikan kaum Musyrikin itu lebih besar daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati).

Semoga kita lebih teliti dalam memahami serta mengguna pakai ayat-ayat suci Al-Quran. Wallahua’lam.

Diolah semula daripada tulisan asal:
Benarkah Dosa Menfitnah Lebih Besar Daripada Dosa Membunuh
Makna Fitnah Dalam Al-Quran




No comments:

Powered by Blogger.