Ads Top

Ulasan Buku Call Upon Him – Jadikan Doa Sebagai Ibadah

Buku Call Upon Him oleh Mizi wahid telah meninggalkan komen yang positif terutamanya buat mereka yang sedang dalam jalannya mencari Allah SWT.

Buku ini telah membincangkan mengenai 21 langkah yang mudah untuk membaiki hubungan manusia dengan Allah melalui doa. Ia juga membekalkan beberapa doa mudah yang boleh diamalkan.

Untuk isi kandungannya yang telah dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu:

#1 – Part 1 – Encouragement, Trust and Hope (Galakan, Kepercayaan dan Harapan)

#2 – Part 2 – Questions About Prayer (Du’a) (Persoalan Mengenai Doa)

#3 – Part 3 – List of Prayers (Du’a) (Senarai doa)

Antara perkara menarik yang telah dibincangkan dalam buku ini adalah berkenaan dengan doa yang sepatutnya dijadikan sebagai ibadah, bukan sekadar permintaan semata-mata.

Bila waktu anda berdoa kepada Allah? Adakah ketika anda sedang dilanda musibah atau pada setiap waktu? Setiap waktu di sini adalah selepas anda menunaikan solat atau membaca doa-doa ketika melakukan sesuatu seperti sebelum masuk ke tandas.

Doa seharusnya dijadikan sebagai salah satu ibadah dan juga wasilah (sebab) penghubung di antara Allah dengan manusia. Dengan doa itulah, jiwa manusia akan mudah terikat dengan Allah dan dijadikan sebagai salah satu sumber pergantungan kepadaNya.

Kehidupan manusia mempunyai fasa jatuh dan bangunnya. Iman manusia juga kadang kala turun dan naik. Ada yang hanya berdoa apabila ditimpa musibah, namun saat dilanda kegembiraan, manusia mudah lupa. Kadang, lupa untuk bersyukur dengan nikmat Allah dan berdoa agar ia ditambah lagi atau digunakan ke arah yang lebih baik.

Namun, doa sebenarnya merupakan salah satu amalan yang paling mudah untuk dilakukan. Bila-bila masa sahaja kita semua boleh berdoa dengan apa jua cara yang ada, sama ada di dalam hati atau secara lisan.

Maksud: “Doa adalah ibadah.” (HR Abu Daud, no. 1479)

Makna doa sendiri adalah permintaan kepada Allah SWT. Namun, perbuatannya adalah ibadah. Untuk menjadikan diri kita tidak kekok berdoa dan yakin dengan Allah, maka latihlah diri dengan ibadah ini dari awal lagi, bukan hanya ketika ditimpa musibah.

Banyak lagi perkara menarik yang dibincangkan melalui buku ini dan menceritakan mengenai kepentingan doa kepada jiwa manusia. Walaupun ia ditulis dalam Bahasa Inggeris, namun ia adalah dalam laras bahasa yang mudah dibaca dan difahami.

Jadi, anda boleh dapatkan buku ini di mana-mana kedai buku atau secara atas talian di Iman Publication.

Wallahu a’alam

Buku dan Sumber Gambar:
Call Upon Him oleh Mizi Wahid terbitan Iman Publication

The post Ulasan Buku Call Upon Him - Jadikan Doa Sebagai Ibadah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.