Ads Top

Haqiem Rusli Belum Sedia Duet Dengan Penyanyi Wanita, Mahu Fokus Nyanyian Solo

Penyanyi popular, Haqiem Rusli menyatakan buat masa ini dia belum bersedia untuk tampil duet bersama penyanyi wanita.

Haqiem berkata, buat masa ini dia masih belum bersedia dan mahu fokus kepada solo sahaja terlebih dahulu.

“Buat masa ini saya lebih selesa fokus pada nyanyian solo, bukan saya tak mahu tetapi nanti dulu.

“Memang ada je penyanyi wanita yang ajak saya berduet di dalam lagu, tetapi saya menolak dengan cara baik kerana bagi saya biarlah saya betul betul sukses dengan lagu solo dan lagu-lagu ciptaan saya dulu,” jelasnya.

Selain itu, penyanyi berkenaan juga memberitahu terdapat ramai penyanyi yang memintanya untuk menghasilkan lagu untuk, tetapi ia tidak dapat dipenuhi buat masa ini memandangkan waktunya yang agak terhad. 

Dalam pada itu, Haqiem baru sahaja melancarkan single ke-14 pada awal tahun 2021 berjudul Mimpi yang menjadi runut bunyi drama bersiri Bidadari Salju yang ditayangkan di TV3.

Haqiem Rusli yang mula dikenali dengan lagu Segalanya dan Tergantung Sepi kini makin berani dan yakin mengetengahkan lagu ciptaan beliau sendiri untuk dipersembahkan buat semua peminat.

Menariknya, Mimpi merupakan single ke-5 lagu ciptaannya yang dinyanyikan sendiri setelah lagu Bangit, Lembah Kesepian, Qiemillio dan What Can I Do For U.

Lebih istimewa lagi, pada kali ini Haqiem bergandingan dengan pelakon dan producer Datuk A.Aida untuk menghasilkan lagu dan lirik Mimpi.

“Ini pengalaman pertama saya berkerja dengan Datuk A.Aida di studio, saya suka semangat dan kesungguhan beliau sewaktu bekerja.

“Saya kagum dengan beliau kerana bukan sahaja wanita yang berjaya dalam perniagaan, malah beliau seorang ibu tunggal yang gigih tanpa kenal erti putus asa,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang muzik video Mimpi, mengikut perancangan asal, sepatutnya hero dan heroin drama Bidadari Salju turut berlakon, tetapi dibatalkan saat-saat akhir berikutan timbul salah faham.

“Saya tidak pasti apa yang berlaku kerana pihak produksi muzik video yang berhubung dan berurusan dengan mereka.

“Apa yang pasti saya telah menyatakan pendirian saya bahawa jika ada pelakon atau model wanita yang ingin ditampilkan dalam muzik video saya, mereka perlulah bertudung (menutup aurat). Jika tidak maaf saya tidak setuju,” jelasnya mengenai perkara tersebut. 

Ujarnya, dia enggan mengulas lanjut tentang perkara berkenaan kerana kurang jelas dengan apa yang berlaku memandangkan urusan pelakon diuruskan sepenuhnya oleh pihak produksi. – KopiPlanet.com

The post Haqiem Rusli Belum Sedia Duet Dengan Penyanyi Wanita, Mahu Fokus Nyanyian Solo appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.