Ads Top

3 Disember Disambut Sebagai Hari OKU Sedunia – Apa Yang Anda Perlu Tahu

Tahukah anda bahawa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia terdiri daripada 10 peratus penduduk Malaysia? Walaupun mereka adalah golongan minoriti, namun pemerkasaan dan hak terhadap mereka tidak boleh dipandang sebelah mata.

Oleh itu, bermula tahun 1994, Malaysia mengambil inisiatif untuk turut mengadakan sambutan Hari OKU peringkat kebangsaan setiap tahun dengan kerjasama daripada organisasi-organisasi dan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Ia selari dengan sambutan pada peringkat antarabangsa yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak tahun 1992 yang turut dianjurkan oleh sukarelawan dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan.

3 Disember kini menjadi sebuah tarikh yang cukup bermakna buat seluruh warga OKU di seluruh dunia kerana ia adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kemampuan dan jasa yang telah disumbangkan mereka.

Ia sekaligus untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan masyarakat sebagai tanggungjawab bersama.

Tahun ini, tema sambutannya adalah ‘Membina Kesejahteraan OKU, Mendepani Perubahan.’

Tema ini menunjukkan kepada kita bahawa mereka adalah sama seperti kita, iaitu rakyat yang perlu diberi hak dan peluang untuk menjalani kehidupan yang baik.

Jadi, apa yang anda perlu tahu tentang mereka?

Menurut Akta OKU 2008, golongan ini termasuk mereka yang mempuunyai ketidakupayaan jangka masa panjang fizikal, mental, intelektual atau deria.

Berdasarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat 7 golongan OKU yang dikelaskan, iaitu;

#1 – Kurang Upaya Pendengaran

Individu yang tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua belah telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran dan juga yang tidak dapat mendengar langsung.

#2 – Kurang Upaya Pendengaran

Individu yang tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad sama ada di sebelah mata atau kedua-dua belah.

#3 – Kurang Upaya Fizikal

Individu yang tidak upaya anggota badan sama ada dengan kehilangan fungsi anggota tersebut atau hilang salah satu anggota badan.

Sebagai contoh, kudung tangan atau kaki, lumpuh dan segala bentuk kehilangan yang boleh menjejaskan fungsi badan.

#4 – Masalah Pembelajaran

Golongan ini mengalami masalah kecerdasan otak yang tidak menggambarkan usia asal mereka. Antaranya down sindrom, autisme dan dyslexia.

#5 – Kurang Upaya Pertuturan

Individu ini boleh mendengar, namun mengalami masalah pertuturan

#6 – Kurang Upaya Mental

Seseorang yang mengalami penyakit mental yang teruk dan telah menjalani rawatan atau diagnosis oleh pakar psikiatri sekurang-kurangnya dua tahun.

Antaranya Skizofrenia, Mood Disorder dan Organic Mental Disorder yang kronik.

#7 – Kurang Upaya Pelbagai

Mengalami lebih daripada satu masalah ketidakupayaaan seperti yang dikategorikan di atas. Sebagai contoh, mengalami masalah penglihatan dan pendengaran.

Bagaimana Islam Memandang Golongan OKU

Islam adalah agama yang syumul (menyeluruh) dan sangat menitikberatkan kebajikan umatnya.

Oleh itu, Islam tidak memandang mereka sebagai golongan yang perlu dicicir kerana setiap dari kita sama dan mempunyai peranannya masing-masing.

Jadi, kebajikan golongan ini juga perlu dijaga dan mereka mempunyai hak untuk berkembang baik sama seperti insan lain.

لَّيْسَ عَلَى الْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ

Mafhum: “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang kerana masing-masing ada uzurnya).” (Surah Al-Fath, 48:17)

Bantulah mereka atas dasar manusiawi. Setiap pihak mempunyai peranannya sendiri yang boleh dilakukan. Sebagai contoh, pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk menambah baik infrastruktur buat mereka serta membantu mereka terutamanya dalam mendepani cabaran COVID-19 hari ini.

Dan kita sebagai manusia yang berada dalam komuniti ini tidak sepatutnya mempunyai mentaliti yang negatif terhadap mereka.

Bukankah Islam juga mengajar kita untuk saling membantu ke arah kebaikan dan sama-sama menuju keharmonian? Mengapa kita perlu menidakkan perkara tersebut?

Mafhum: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa.” (Surah Al-Maidah, 5:2)

Kesimpulan

Bersempena dengan sambutan Hari OKU Sedunia 2020 ini, apa kata jadikan ia sebagai titik tolak untuk memulakan sesuatu ke arah yang lebih baik.

Bersikap adil kepada mereka dan sebarkan mentaliti yang positif agar kita sama-sama dapat membangun ke arah yang lebih baik dan sejahtera.

Rujukan:
Jabatan Kebajikan Masyarakat

The post 3 Disember Disambut Sebagai Hari OKU Sedunia - Apa Yang Anda Perlu Tahu first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.