Hunny Madu Akui Sudah Berkahwin Kali Kedua Dengan Jejaka Itali
Teka-teki mengenai status Hunny Madu akhirnya terlerai apabila mengesahkan yang dia sudah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan jejaka Itali bergelar cef di ibu kota, Fedrighi Francesco pada 2 Mei lalu.
Ujarnya, majlis dilakukan secara atas talian memandangkan situasi pandemik Covid-19 masih belum reda. Malah, majlis pernikahan yang diadakan di kediaman keluarganya di ibu kota itu tidak membabitkan tetamu.
“Kami hanya maklumkan keputusan berkahwin ini kepada keluarga terdekat dan kawan rapat saja. Majlis nikah itu memang begitu ringkas dan hanya disaksikan adik beradik, ibu bapa dan dua anak saya.
“Ustaz yang bertugas menjadi saksi pernikahan kami berada di lokasi berbeza. Baju nikah pun kami pinjam sebagai memenuhi syarat kerana keterbatasan waktu untuk menyiapkan yang baru. Cukup sebegitu untuk jadi memori kenangan saya dan suami,” katanya.
Sebelum ini, penyanyi dan pengacara itu menimbulkan persoalan ramai pihak setelah memuat naik gambar mesra, termasuk bercium dengan jejaka berkenaan di Instagram miliknya.
Menurut Hunny atau nama sebenarnya, Hani Farhana Mohd Hatim, majlis resepsi sepatutnya diadakan bulan September lalu.
“Namun begitu, ia terpaksa ditunda kerana ada hal yang tak boleh saya kongsikan. InsyaAllah majlis yang dirancang itu akan diadakan pada masa yang lebih sesuai waktu mendatang,” katanya.
Suaminya yang memeluk agama Islam sejak Februari lalu sudah menetap di Malaysia sejak Januari 2018. Mereka berkenalan sekitar awal Januari tahun lalu.
Pasangan ini juga sempat ke Pulau Langkawi untuk percutian keluarga yang turut membabitkan dua anaknya, Eva Medina, 8, dan Adam Musa, 3.
“Nak kata bulan madu pun tidak. Tapi percutian baru baru ini itu umpama bulan madu bersama keluarga kecil saya,” katanya.
Hunny juga memanjat kesyukuran kerana dipertemukan dengan suami yang disifatkan cukup baik kepada dirinya, anak serta keluarga.
“Saya bertuah ada dia. Dia buat saya bahagia. Semoga hubungan kami ini akan kekal sampai ke jannah. InsyaAllah,” katanya.
Dalam pada itu, Hunny juga ingin memohon maaf kepada pihak yang terasa dengan gambar yang dimuatnaik bersama cinta hati yang dianggap keterlaluan dikongsi di Instagram.
“Semua itu timbul sebab ada yang tak tahu perkara sebenar yang saya dan dia sudah berkahwin. Sebab itu saya ambil kesempatan untuk meleraikan persoalan itu,” katanya.
Hunny sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Khairul Azhar Abdul Wahid pada tahun 2010, namun mereka berpisah pada Oktober 2018. – KopiPlanet.com
The post Hunny Madu Akui Sudah Berkahwin Kali Kedua Dengan Jejaka Itali appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: